Ilmu dan Amal

“Hai Rasul, sampaikanlah apa yang di turunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika  tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak  menyampaikan amanat-Nya. 
Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia.  Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir”.  QS.Al-Maaidah [5] : 67
Sabda Baginda Rasulullah SAW, "Sampaikanlah dariku,  walaupun hanya satu ayat."
Petikan Minda :
Miskin harta tidak mengapa,
tapi jangan miskin idea dan jiwa.
Miskin idea buntu di dalam kehidupan.

Miskin jiwa mudah kecewa dan derita

akhirnya putus asa yang sangat berdosa.

ASSALLAMUALAIKUM W.B.T

Tuesday, November 9, 2010

BERSYUKUR TANDA KETEGUHAN IMAN




KHUTBAH JUMAAT 08 FEBRUARI 2008M / 01 SAFAR 1429H

BERSYUKUR TANDA KETEGUHAN IMAN



اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ أَكْرَمَنَا بِنِعْمَةِ الإِيْمَانِ وَاْلإِسْلاَمِ، وَيَمُنُّ عَلَيْنَا بِالسَّعَادَةِ وَالسَّلاَمَةِ وَالصِّحَّةِ وَاْلعَافِيَةِ.

أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ، وَتَابِعِ التَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، أُوْصِيْكُمْ وَنَفْسِيْ بِِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri, marilah kita bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu yang tinggi nilainya di sisi Allah selain daripada meningkatkan nilai takwa di dalam diri kita. Mudah-mudahan kita mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Muslimin Yang Dimuliakan,
Kita perlu mempertingkatkan syukur kepada Allah SWT, kerana dengan bersyukur akan memperteguhkan lagi keimanan kita kepada Allah SWT. Kita yang hidup dalam negara yang dikurniakan nikmat keamanan yang berterusan serta kemewahan, sepatutnya menambahkan lagi syukur kepada Allah SWT, di samping memperteguhkan lagi ketaatan serta pengabdian diri terhadap-Nya.


Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Ketahuilah, sesungguhnya seseorang hamba itu tidak diakui bersyukur kepada Allah, melainkan jika ia menggunakan nikmat-nikmat Allah itu untuk kepentingan diri sendiri dan masyarakat. Menurut Imam Al-Junaid : “Syukur ialah seseorang yang tidak menggunakan nikmat Allah untuk melakukan maksiat kepada-Nya”. Ertinya tanda bersyukur ialah menggunakan segala nikmat Allah untuk melakukan ketaatan dan memanfaatkan nikmat tersebut ke arah kebajikan, bukan menyalurkannya kepada maksiat atau kejahatan. Nikmat yang Allah Taala anugerahkan kepada manusia bolehlah dibahagikan kepada dua iaitu :-

Pertama : “Nikmat duniawi” iaitu nikmat untuk meneruskan kehidupan di dunia seperti makanan, minuman, kekayaan, keamanan, kesihatan, persaudaraan dan sebagainya.

Kedua : “Nikmat Ukhrawi” iaitu nikmat Islam dan iman, nikmat yang paling berharga serta tidak ternilai kerana ia bukan setakat menjamin kesejahteraan hidup di dunia tetapi berkekalan hingga ke akhirat.

Persoalannya, adakah kita benar-benar bersyukur dengan kedua-dua bentuk nikmat yang dikurniakan Allah ini? Apakah kita benar-benar mensyukuri nikmat kurniaan yang tidak terhitung nilainya? kita tidak seharusnya merasa selesa dan berpada dengan apa yang telah kita usahakan selama ini. Malah kita perlu merasa bimbang dan takut, setelah sekian banyak nikmat rezeki kurniaan Allah yang kita gunakan. Kita bimbang sekiranya kita tidak tergolong di kalangan hamba-hamba yang bersyukur. Allah SWT telah memberi amaran keras terhadap mereka yang tidak tahu bersyukur atau tidak mahu bersyukur, dengan amaran azab di hari akhirat. Sebaliknya, hamba yang bersyukur dan menghargai nikmat Allah, akan digandakan ganjaran nikmat dan pahala. Firman Allah di dalam surah Ibrahim ayat 7 :

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ،


Maksudnya : “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu : “Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

Muslimin Yang Berbahagia,
Sesungguhnya nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia tidak terhitung banyaknya, sehingga menjadikan kehidupan ini serba lengkap dan sempurna. tidak ada yang lebih besar nilainya daripada nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia sesudah iman, melainkan kesihatan. Apabila badan dan akal fikiran seseorang mukmin sihat, maka kehidupan mereka akan bahagia dan sejahtera. Mereka akan bekerja dan berusaha dengan penuh semangat, lebih berdaya saing serta hasilnya akan terus meningkat. Pembinaan syakhsiah, pengukuhan kualiti insan dan kerohanian, perlu ditunjangi dengan akidah dan keimanan kepada Allah SWT. Selain daripada keimanan yang boleh menjadi benteng kukuh, pembinaan sahsiah atau peribadi seseorang itu, perlu dihiasi dengan akhlak atau sifat-sifat terpuji seperti sabar, redha, merendah diri, qanaah dan sebagainya.


Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Perlu diingatkan, sesungguhnya seseorang hamba yang telah menggunakan nikmat-nikmat Allah pada jalan yang tidak diredhai Allah dengan melakukan maksiat atau kejahatan, mereka sebenarnya tidak bersyukur akan nikmat-nikmat Allah, atau dengan kata lain jadilah mereka hamba yang kufur. Oleh itu jelaslah, bahawa syukur dan iman itu adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Di samping bersyukur kepada Allah, kita juga diingatkan agar berterima kasih sesama insan kerana kita tidak akan dapat hidup di dunia ini tanpa Bantu-membantu antara satu sama lain sepertimana yang ditegaskan oleh Ibnu Khaldun dalam kitabnya, Muqaddimah : " اْلإِنْسَانُ مَدَنِيٌّ بِالطَّبَعِ " maknanya : “Manusia saling perlu memerlukan, tidak sempurna hidup bersendirian”. Sebab itu, di antara kita sesama manusia perlu saling berterima kasih dan saling mengenang budi. Berhubung perkara ini Rasulullah SAW bersabda :-

" لاَ يَشْكُرُ اللهَ مَن لاَّ يَشْكُرِ النَّاسَ. "
(Sahih Ibnu Hibban)

Maksudnya : “Tidak bersyukur seseorang itu kepada Allah, selagimana ia tidak bersyukur (atau berterima kasih) kepada sesama manusia.”

Mengakhiri khutbah, Minbar yang mulia ini ingin menegaskan bahawa syukur adalah salah satu amalan mulia dan perlu ditanamkan di dalam jiwa kita, kerana dengan nilai syukur inilah, kita dapat membentuk manusia yang kenal diri, mengenang budi dan menghargai setiap nikmat yang diperolehi.



أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ،


(Surah Al-A'raf : 10)

Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

P/S


Bersyukurlah..kerna kita masih berupaya menghela nafas lagi sehari,hari ini..
Bersyukurlah..kerna kita masih ada kuderat mencari rezeki,hari ini..
Bersyukurlah..kerna kita telah diberi nikmat hidup,hari ini..
Bersyukurlah..kerna kita masih berupaya menatap wajah-wajah kesayangan,hari ini..
Bersyukur dan bersyukur,Insaallah Allah akan merestuimu..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...