Ilmu dan Amal

“Hai Rasul, sampaikanlah apa yang di turunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika  tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak  menyampaikan amanat-Nya. 
Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia.  Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir”.  QS.Al-Maaidah [5] : 67
Sabda Baginda Rasulullah SAW, "Sampaikanlah dariku,  walaupun hanya satu ayat."
Petikan Minda :
Miskin harta tidak mengapa,
tapi jangan miskin idea dan jiwa.
Miskin idea buntu di dalam kehidupan.

Miskin jiwa mudah kecewa dan derita

akhirnya putus asa yang sangat berdosa.

ASSALLAMUALAIKUM W.B.T

Wednesday, June 8, 2011

Negara berkebajikan

Mengapa Umno menggelupor dengan negara kebajikan
Harakahdaily




TEMERLOH, 8 Jun: Mengapa Umno menggelupor dengan ‘negara kebajikan’? Ia adalah kerana PAS menawarkan penyelesaian kepada rakyat di tengah-tengah kegagalan Umno BN untuk menjaga rakyat marhaen.

Demikian kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengulas sikap Umno dan medianya yang terlalu melampau dalam menunjukkan kebimbangannya dengan negara kebajikan itu.

(Gambar: Presiden PAS berucap ketika membentangkan gagasan negara kebajikan di Muktamar PAS ke 57)

“Apabila PAS mengutarakan negara berkebajikan, tak tersangka pula Umno yang mengelupor dengan istilah tersebut, bak kata tok bomoh picit lada hitam pada jari kaki orang masuk hantu. Barangkali memang Umno ini dah lama kena rasuk… Cuma mungkin tak kena cara tiupnya saja.

"Kini, kita boleh lihat dengan nyata bahawa Umno benar-benar terasa dengan istilah ‘negara kebajikan’ ini kerana ia memberi ancaman kepada mereka.

"Maklumlah, PAS menawar sebuah negara berkebajikan di tengah-tengah kegagalan Umno menjaga kebajikan rakyat marhaen demi menjaga hati kroni yang semakin angkuh, sombong dan tamak,” nukil Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ni.

Semenjak Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membentangkan gagasan penubuhan sebuah negara kebajikan semasa ucapan dasarnya di Muktamar PAS ke 57, pimpinan Umno dan medianya telah menyerang bertubi-tubi untuk menguasai pemikiran rakyat terhadap parti Islam tersebut dengan tuduhan kononnya PAS telah mengubah dasar perjuangan.

“Walhalnya konsep negara berkebajikan, keadilan, keselamatan, kesejahteraan, kemakmuran adalah intipati dari negara Islam,” kata Tuan Ibrahim (gambar).

Istilah ‘negara kebajikan’ yang dilaungkan PAS, kata beliau telah berjaya menunjukkan kepada rakyat isi perut Umno sebenar yang sememangnya ‘rakyat dahulu’ menjadi mangsa dalam segala hal berkaitan dengan program pengurangan subsidi berbanding kroni-kroni Umno BN seperti penjana tenaga bebas (IPP).

Mengenai serangan Umno terhadap pimpinan baru PAS, Tuan Ibrahim berkata selain istilah ‘negara kebajikan’, Umno juga menerima tamparan hebat apabila pewakilan PAS membuat kejutan dengan memilih barisan kepimpinan baru yang di luar jangkaan mereka.

“Kebijaksaan perwakilan membaca keperluan barisan pimpinan bagi mengempur Umno menyebabkan mereka rasa tertekan. Ini dapat dibaca dari luahan kenyataan mereka.

"Mulanya menyerang, kemudian menyatakan bahawa Umno sudahpun melaksana negara kebajikan dan kini bertukar kepada rayuan 'Umno tetap membuka ruang untuk penyatuan Melayu' dan kad simpati dengan mengatakan ‘Umno kecewa PAS tolak perpaduan’ dan sebagainya,” terang beliau.

Nota:
PAS bersama PR akan melaksanakan negara berkebajikan bermakna melaksanakan hukum Islam secara berperingkat dan bersesuaian dengan keadaan rakyat yang semakin tersepit dan terhimpit gara-gara pemerintahan ala kuku besi UBN.
Pas akan sebolehnya melaksanakan corak pemerintahan semirip yang boleh dengan cara pemerintahan Khalifah Umar Abd.Aziz yang akan menyalakan lilin sekiranya tiada urusan negara.Sesungguhnya negara akan lebih maju dan makmur ,bebas dari rasuah dan gejala sosial sekiranya negara berkebajikan berjaya dilaksanakan dengan jayanya,Insaallah..Riwayat Khalifah Umar dibawah dan link berikut...

MENTELADANI KEPIMPINAN KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ..

Allah telah merakamkan dalam Al-Quran janjinya yang bermaksud:-
(Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka). ( an-nur : 55 )

Hukama' mengatakan, “Dunia ini didukung oleh empat tiang; kebijaksanaan golongan cendekiawan, keadilan pemerintah, doa orang yang jujur dan kegagahan orang yang berani.” Pepatah ini sememangnya sangat tepat kerana hanya golongan cendekiawan yang bijaksana, pemerintah yang adil, orang jujur yang berdoa serta orang berani yang gagah sahaja dapat memakmurkan dan meneguhkan bumi ini. Selain itu, mereka inilah juga yang membentuk suasana sejahtera – bi’ah salihah/hasanah dalam sesebuah keluarga atau masyarakat.

Sifat-sifat mulia yang ada pada empat tiang ini dimiliki oleh pemimpin agung seperti Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz. Dengan keluhuran peribadinya itulah, Khalifah ‘Umar berjaya memadamkan pemberontakan kaum Khawarij yang sangat ekstrim selain peperangan antara suku yang berlaku sejak sebelum beliau memimpin negara. Khalifah ‘Umar telah berusaha mengadakan sesi dialog secara terbuka dengan kumpulan ini sehingga semua pihak berpuas hati.

Keperibadian Khalifah ‘Umar sendiri dipengaruhi oleh sifat serta akhlak luhur keturunan atau ahli keluarganya dan yang paling hampir ialah bapanya sendiri iaitu gabenor Mesir. Zaman pemerintahan ‘Abdul ‘Aziz merupakan zaman yang gemilang. Beliau telah membina alat pengukur air Sungai Nil dan sebuah jambatan di Teluk Amir al-Mu’minin. Begitu juga beliau berusaha membina semula dan meluaskan Masjid Jami’ `Amru. Manakala di kawasan kota pula dibangunkan kolam air, ditanam pohon-pohon kayu serta tamar dan didirikan masjid-masjid lalu dipindahkan pejabat-pejabat pemerintahan dan Baitulmal ke situ.

‘Abdul ‘Aziz merupakan seorang pemimpin contoh dan seorang yang dermawan. Beliau tidak pernah mengumpulkan kekayaan untuk dirinya sahaja walaupun daerah Mesir itu dapat dijadikan sumber kekayaan peribadinya. Menurut riwayat, beliau telah membelanjakan seluruh harta kekayaannya dan semasa meninggal dunia, ‘Abdul ‘Aziz hanya meninggalkan tujuh ribu dinar sahaja. Ini merupakan jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan kedudukan serta kekayaannya.

Khalifah ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz membesar dan dewasa di kota Madinah. Beliau meriwayatkan Hadith dan berguru dengan sekumpulan sahabat yang pakar dalam bidang tersebut. Antara mereka ialah Anas bin Malik (wafat pada tahun 90H.) – seorang guru yang pernah menjadi makmumnya ketika solat, `Abdullah ibn ‘Umar, bapa saudaranya (wafat pada tahun 74H.) dan ‘Abdullah ibn Ja`far ibn Abi Talib (wafat pada tahun 80H.).

‘Umar ibn ‘Abdil ‘Aziz dilantik menjadi khalifah setelah kemangkatan Khalifah Sulaiman ibn ‘Abdil Malik. Semua rakyat dan pembesar negara berkumpul di masjid. Seterusnya, surat wasiat khalifah pun dibuka lalu diumumkan nama ‘Umar ibn ‘Abdil ‘Aziz. Beliau benar-benar berasa terkejut lalu berkata, “Demi Allah! Ini sama sekali bukanlah permintaanku, sama ada secara rahsia mahupun terang-terangan.” ‘Umar segera menaiki mimbar dan berucap kepada hadirin :

“Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah dibebani dengan tugas ini tanpa diminta pendapatku terlebih dahulu. Ini bukan juga atas permintaanku sendiri dan tidak pula berdasarkan musyawarah kaum Muslimin. Sesungguhnya aku kini membebaskan saudara-saudara sekalian daripada bai’at yang terletak di atas bahu saudara semua terhadap diriku. Pilihlah siapa yang kamu sukai untuk dirimu sekalian dengan bebas!”

Amalan demokrasi yang cuba dipraktikkan oleh ‘Umar ini sekali gus mengubah tradisi Bani Umayyah sejak zaman Mu`awiyah ibn Abi Sufyan. Walau bagaimanapun, orang ramai segera bersuara, “Kami telah memilih kamu, wahai Amir al-Mu’minin dan kami telah rela terhadap kamu. Perintahlah kami dengan baik.”

Akhirnya, apabila tiada lagi pencalonan lain yang dikemukakan oleh orang ramai, ‘Umar pun menyampaikan pidatonya. Antara lain katanya : “Aku berpesan kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah kerana taqwa kepada Allah itu adalah penting daripada segala-galanya. Tiada kemuliaan dan kehormatan yang dapat menggantikan ketaqwaan kepada Allah. Beramallah kamu untuk akhiratmu kerana sesiapa yang beramal untuk akhiratnya, maka Allah s.w.t. akan menjamin bahawa selesailah urusan kehidupan dunianya. Amalkanlah tingkah laku yang baik sewaktu kamu bersendirian, nescaya Allah akan menjadikan tingkah lakumu baik ketika kamu berada di kalangan orang awam.”

“Banyaklah mengingati mati dan sediakanlah bekalan menghadapinya sebelum ia datang menjemput kamu kerana ia boleh mencegah kamu daripada hidup berfoya-foya dengan kenikmatan. Sesiapa yang tidak mahu mengenang nenek moyang yang telah pergi terlebih dahulu sejak zamannya hingga Nabi Adam a.s., ia pasti akan mati dalam keadaan hina.”

Ketahuilah! Bahawa tindakan mentaati makhluk dalam perkara maksiat terhadap Khalik adalah dilarang. Sesiapa yang mentaati Allah, wajiblah ia ditaati dan sesiapa yang mendurhakai Allah, maka ia tidak harus ditaati. Taatlah kamu kepadaku selagi aku taat kepada Allah. Jika aku mendurhakai Allah, maka kamu tidak lagi harus mentaatiku. Aku mengucapkan kata-kataku ini dan aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Besar untuk diriku sendiri dan untuk saudara-saudara sekalian.”

‘Umar ternyata terlalu bersedih dan gelisah dengan beban tanggungjawab yang dipikulnya sesudah dilantik menjadi Khalifah. Selesai menunaikan solat, beliau berdoa dan menangis. Kepada isterinya, diadukan bagaimana resahnya beliau mengenangkan beban untuk menguruskan umat Muhammad s.a.w. Katanya, “Aku terfikir tentang nasib orang fakir dan miskin yang kelaparan, orang sakit yang terlantar, orang yang tidak berpakaian, orang yang teraniaya, orang asing yang menjadi tawanan perang, orang tua, keluarga yang memiliki anak yang ramai tetapi hartanya sedikit dan orang lain seperti mereka yang terdapat diseluruh pelosok negeri. Aku mengenang bagaimana Tuhanku akan menanyakan dan memintaku bertanggungjawab ke atas mereka semua pada hari kiamat kelak. Aku takut jika aku tidak dapat memberikan keteranganku.”

Diceritakan bahawa selepas dilantik menjadi Khalifah dan ketika mahu berangkat pulang daripada urusan pemakaman Khalifah Sulaiman, ‘Umar diberikan berbagai-bagai jenis kenderaan khalifah. ‘Umar bertanya, “Apakah ini?” Jawab mereka, “Inilah kenderaan buat khalifah.” ‘Umar berkata, “Haiwanku lebih sesuai bagiku.” Kemudian beliau menjual semua kenderaan tersebut dan wangnya diserahkan kepada Baitul Mal. Begitu juga dengan perhiasan, permaidani dan pengalas kaki yang biasanya disediakan untuk khalifah yang baharu. Semuanya dijual oleh ‘Umar dan wangnya diserahkan kepada Baitul Mal.
Di samping itu, turut diceritakan bagaimana ‘Umar menghadapi masalah kewangan untuk menunaikan haji disebabkan harta kekayaannya telah diserahkan kepada negara untuk kepentingan umum. ‘Umar memberitahu pembantunya, Muzahim, “Aku ingin menunaikan ibadah haji. Adakah kamu mempunyai sesuatu?” Muzahim menjawab, “Ada lebih kurang sepuluh dinar cuma.” “Apakah yang dapat kulakukan dengannya?” ujar ‘Umar. Muzahim terdiam sejenak dan akhirnya berkata, “Wahai Amir al-Mu’minin, bersiaplah! Ssebanyak tujuh belas ribu dinar iaitu sebahagian daripada harta Bani Marwan telah diserahkan kepada kita.”

‘Umar menjawab, “Masukkanlah harta tersebut ke dalam Baitul Mal. Sekiranya ia datang daripada barang yang halal, maka kita telah mengambilnya sekadar keperluan kita dan jika ia datang daripada harta yang haram, maka cukuplah bagi kita apa yang menimpa diri kita.”

‘Umar juga melatih ahli keluarganya supaya turut zuhud sepertinya. Anak beliau sendiri memakai pakaian yang terlalu sederhana; meskipun bersih tetapi koyak, pada hari raya. Kebijaksanaan ‘Umar juga jelas terbukti dalam berinteraksi dan menyelesaikan pertikaian dengan penganut agama lain. Sebagai contoh, ‘Umar telah mengembalikan gereja yang diambil oleh khalifah sebelumnya dan diubah menjadi masjid. Kaum Nasrani yang memaklumi sifat adilnya telah memohon kepada ‘Umar supaya gereja tersebut dikembalikan kepada mereka.

Keadilan dan ketegasan ‘Umar dalam pemerintahannya benar-benar menjadikan rakyatnya hidup aman dan kaya. Yahya ibn Sa’id pernah meriwayatkan, ‘Umar ibn `Abdil Aziz telah mengutusku ke Afrika Utara untuk membahagi-bahagikan zakat penduduk di sana. Aku pun melaksanakan perintah tersebut. Aku mencari golongan fakir miskin untuk kuberikan zakat itu kepada mereka. Akan tetapi ,kami tidak menemui seorang pun dan tiada pula orang yang mahu menerimanya. ‘Umar benar-benar telah menjadikan rakyatnya kaya. Akhirnya, kubeli beberapa orang hamba dengan harta zakat itu lalu kumerdekakan.”

khalifah yang demikian salih, adil dan menepati ciri pemimpin sejati yang dikasihi Allah, akhirnya wafat kerana diracuni makanannya. Anehnya ‘Umar yang sememangnya mengetahui ketika, di mana dan siapa yang meracuninya itu tidak pula menghukum orang tersebut. Inilah kelebihan firasat orang yang beriman. Menyentuh tentang firasat ini, Rasulullah pernah bersabda, “Takutilah olehmu firasat Mukminin kerana mereka memandang dengan nur Allah.” Beliau hanya memanggil orang tersebut dan bertanya berapakah harga ia diupah untuk meracuni beliau. Wang seribu dinar itu dimintanya bukan untuk mengubati bisa racun tersebut tetapi diberikan kepada Baitul Mal untuk kepentingan umat Islam.

Keimanan dan sifat zuhud ‘Umar sememangnya cukup menakjubkan. Daripada kehidupan yang sedemikian mewah sebelum menjadi khalifah, beliau sanggup meninggalkan semuanya, semata-mata kerana takutkan azab Allah sekiranya beliau cuai menjalankan amanah. Ketika meninggal dunia, harta beliau hanya tinggal tujuh belas dinar sahaja. Ia dibahagi-bahagikan untuk penyelenggaraan pemakamannya iaitu lima dinar untuk kain kafan, dua dinar untuk tanah perkuburannya dan baki sepuluh dinar itulah yang dibahagi-bahagikan untuk sebelas orang anaknya.

Sebagai seorang hamba yang dikasihi Allah, ketinggian darjatnya ditunjukkan oleh Allah untuk dijadikan panduan oleh manusia lainnya. Demikianlah kehebatan seorang manusia agung, seorang hamba Allah yang memperoleh nikmat syurga, hasil keimanan yang kudus hanya kepada Allah s.w.t. Mudah-mudahan kita dapat berusaha mencontohi akhlak mulianya.

Keluhuran, kejujuran, beramanah, tanggungjawab, zuhud, dermawan, menepati masa merupakan antara keperibadian seorang khalifah dalam mentadbir iaitu Khalifah Umar Abdul Aziz. Oleh keperibadian beliau wajar diteladani oleh semua pihak…..

Dicatat oleh Ibnu Ismail.

No comments:

There was an error in this gadget
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...