Ilmu dan Amal

“Hai Rasul, sampaikanlah apa yang di turunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika  tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak  menyampaikan amanat-Nya. 
Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia.  Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir”.  QS.Al-Maaidah [5] : 67
Sabda Baginda Rasulullah SAW, "Sampaikanlah dariku,  walaupun hanya satu ayat."
Petikan Minda :
Miskin harta tidak mengapa,
tapi jangan miskin idea dan jiwa.
Miskin idea buntu di dalam kehidupan.

Miskin jiwa mudah kecewa dan derita

akhirnya putus asa yang sangat berdosa.

ASSALLAMUALAIKUM W.B.T

Tuesday, September 14, 2010

ANTARA KELEBIHAN ILMU DENGAN KEMEWAHAN HARTA

Pada suatu hari, sepuluh orang dari kaum Khawarij bertemu dengan Sayidina Ali bin Abi Talib kwj untuk bertanyakan beberapa soalan. Walau bagaimanapun, mereka sebenarnya bertujuan untuk menguji kehebatan Sayidina Ali sama ada ia bertepatan dengan satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : Aku ini kotanya ilmu pengetahuan, dan Ali adalah sebagai pintunya.

Sebaik sahaja bertemu Sayidina Ali, mereka dilayan dengan begitu baik. Salah seorang dari mereka kemudian membuka mulut dan berkata, "Wahai Ali, kami yang datang seramai sepuluh orang ini adalah dihantar oleh kaum kami untuk mengajukan pertanyaan kepadamu. Kami akan bertanya secara bergilir-gilir dan jawapan yang kamu berikan itu akan kami bawa pulang kepada kaum kami."

Baiklah, apakah soalannya?" jawab Sayidina Ali kwj.

Wahai Ali, yang manakah lebih mulia, ilmu pengetahuan atau harta benda, dan apakah sebabnya? tanya orang pertama.

Lalu Sayidina Ali menjawab, Ilmu pengetahuan itu adalah warisan para nabi, sedangkan harta kekayaan adalah warisan daripada Qarun, Syadad dan lain-lain. Oleh kerana itu, ilmu pengetahuan lebih mulia daripada harta benda.

Kemudian orang kedua pula bertanya, Manakah yang lebih mulia, ilmu pengetahuan atau harta benda, dan jelaskan sebab-sebabnya?"

Ilmu lebih mulia daripada harta, kerana ilmulah yang menjaga dan memelihara pemiliknya, sedangkan harta, si pemiliknya lah yang memelihara dan menjaganya, jawab Sayidina Ali kwj.

Setelah Sayidina Ali berjaya menjawab soalan daripada orang pertama dan kedua, orang ketiga, keempat, kelima, hingga kesepuluh bergilir menanyakan soalan, sama seperti yang diajukan oleh orang pertama dan kedua.

Kepada orang yang ketiga, Sayidina Ali menjawab: Ilmu lebih mulia daripada harta kerana orang yang berilmu banyak sahabatnya, sedangkan orang yang banyak hartanya lebih banyak musuhnya.

Kepada orang yang keempat, Sayidina Ali menjawab: Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu bila disebarkan atau diajarkan akan bertambah sedangkan harta kalau diberikan kepada orang lain akan berkurangan.

Kepada orang yang kelima, Sayidna Ali menjawab: Ilmu lebih mulia daripada harta, kerana ilmu tidak dapat dicuri, sedangkan harta benda mudah dicuri dan dapat lenyap.

Kepada orang yang keenam, Sayidina Ali menjawab: Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu tidak akan rosak binasa, sedangkan harta kekayaan boleh lenyap dan habis akibat masa dan usia.

Kepada orang yang ketujuh Sayidina Ali menjawab: Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu tidak ada batasnya, sedangkan harta benda ada batasnya dan dapat dihitung jumlahnya.

Kepada orang yang kelapan Sayidina Ali menjawab: Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu memberi dan memancarkan sinar kebaikan, menjernihkan fikiran dan hati serta menenangkan jiwa, sedangkan harta kekayaan pada umumnya dapat menggelapkan jiwa dan hati pemiliknya.

Kepada orang yang kesembilan Sayidina Ali menjawab: Ilmu lebih mulia daripada harta kerana orang yang berilmu mencintai kebajikan dan kata-katanya mulia seperti orang yang warak, sedangkan orang yang berharta boleh menjadi melarat dan lebih cenderung kepada sifat-sifat kikir dan bakhil.

Akhirnya kepada orang yang kesepuluh Sayidina Ali menjawab: Ilmu lebih mulia dan lebih utama daripada harta kekayaan kerana orang yang berilmu lebih terdorong untuk mencintai Allah, sedangkan harta benda hanya membangkitkan rasa sombong, bongkak dan takbur.

Kemudian Sayidina Ali menyambung dengan membaca ayat Al-Quran dari Surah Al Mujaadilah (58:11) yangbermaksud: Allah akan meninggikan orang yang beriman diantaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Sepuluh orang kaum Khawarij itu menjadi kagum kerana satu pertanyaan mereka dapat dijawab oleh Sayidina Ali kwj dengan sepuluh jawapan yang berbeza. Selepas itu, mereka pulang menemui kaum mereka dengan perasaan puas serta bertambah yakin bahwa Khalifah Sayidina Ali kwj benar-benar seperti yang dikatakan oleh Nabi Muhammad SAW, iaitu sebagai pintu gerbang ilmu.

Sumber dari IT
Syeikhbelalang - Salam dan Ampun Maaf Zahir Batin dari Kamunting

Nota : Artikel di atas adalah sebagai peringatan kepada mereka yang lebih mencintai dunia dan harta dimana ternyata tamakkan harta membuatkan pelbagai jenayah telah dilakukan manusia demi harta dan dunia.

Kes terbaru pembunuhan trajis dan kejam oleh manusia yang tidak berhati perut membuktikan atas ketamakan kapada harta dunia.Semoga Rohnya arwah-arwah yang meninggal dicucuri rahmatNya dan pembalasan setimpal keatas pelaku pembunuhan itu.

Al-Fatihah

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...