Ilmu dan Amal

“Hai Rasul, sampaikanlah apa yang di turunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika  tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak  menyampaikan amanat-Nya. 
Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia.  Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir”.  QS.Al-Maaidah [5] : 67
Sabda Baginda Rasulullah SAW, "Sampaikanlah dariku,  walaupun hanya satu ayat."
Petikan Minda :
Miskin harta tidak mengapa,
tapi jangan miskin idea dan jiwa.
Miskin idea buntu di dalam kehidupan.

Miskin jiwa mudah kecewa dan derita

akhirnya putus asa yang sangat berdosa.

ASSALLAMUALAIKUM W.B.T

Wednesday, August 24, 2011

Riak (tertipu) dalam beribadat






PENGERTIAN RIAK
---------------------------------------------------------------

Riak itu ialah melakukan kebaikan dan amal ibadat semata-mata untuk mencari tempat di dalam hati manusia.

Perkara yang diriakkan oleh manusia;

1- Riak dari segi badan

Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.

2- Riak pada pakaian

Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain.

3- Riak dengan perkataan.

Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam maknanya juga kata- kata hikmat beserta hadith.Memperlekeh orang lain yang tidak rajin beribadah sepertinya. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong.

4- Riak pada amalan

Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.

5- Riak dengan ramainya murid dan pengikut.

Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan ulama.

Peringkat Riak

1- Riak Akbar
Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.

2- Riak Asghar
Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.

3- Riak Jahli ( yang terang )
Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.

4- Riak Khafi ( yang tersembunyi )
Riak ini pula ialah riak yang tesembunyi dan ianya tersembunyi dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.

Bagaimana mengelakkan sifat riak?

Rawatan terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah menghindari dengan menjauhi sebab-sebab
dan punca terjadinya penyakit. Begitu jugalah kepada penyakit riak ini, iaitu menjauhi sebab-sebab yang
boleh membawa kepada perasaan itu, antaranya ialah;
1- Sifat suka dipuji oleh orang lain. Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk
kealiman dan kewara` kan kepada orang lain.
2- Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain. Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur
dan suka berpura-pura.
3- Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada kematian. Seseorang itu melakukan segala pekerjaan
adalah semata-mata kerana untuk menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya hebat. Manusia sebegini mengharapkan ganjaran atas segala pekerjaan yang dilakukan.

Setelah mengetahui sebab-sebab yang menjadi punca riak, mari kita lihat bagaimanakah cara untuk menghindarinya. Terdapat beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai hati;
1- Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan
hati dengan ikhlas.
2- Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan tabiat ini akan membawa diri
agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan
Allah pada hari akhirat kelak.
3- Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.
4- Menanamkan dalam diri perasaan bahawa melakukan sesuatu itu kerana manusia sehingga membawa
kemurkaan Allah itu adalah suatu perkara yang buruk dan patut dijauhkan.
5- Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk
menghampirkan diri kepada Allah.
6- Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan.

MUDAH-MUDAHAN KITA SEMUA BERLAPANG DADA DAN BERUSAHA KEARAHNYA.INSYAALLAH.


*link

---------------------------------------------------------------------------------------------------------
Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali pernah mengingatkan, orang yang tertipu di akhirat kelak adalah orang yang jika berbuat baik, dia berkata, "Akan diterima amal kebaikanku". Jika berbuat maksiat, dia berkata: "Akan diampuni dosaku." (Ihya Ulmuddin).

Saat beribadah, kerap kita didatangi perasaan, "Telah banyak ibadah yang saya lakukan", atau soalan, "Berapa ringgit wang yang saya sedekahkan". Bahkan sering juga hati bergumam, "Kiranya semua dosa-dosaku pasti telah diampuni, karena aku solat sunat sekian kali setiap hati".

Perasaan, angan-angan dan soalan seperti tersebut di atas boleh merosakkan amal perbuatan. Bahkan boleh mengakibatkan meremehkan (tahawun) perbuatan dosa.

Sehingga, ibadahnya boleh menjadi sia-sia. Sebab, semangat ibadahnya bukan lagi kerana takwa kepada Allah SWT, tapi ingin jadi kaya atau ingin disebut ahli ibadah.

Sebagaimana hadis Rasulullah SAW di atas, orang seperti tersebut di atas disebut rakus. Beribadah banyak tanpa disertai pengetahuan ancaman-ancaman Allah SWT dalam al-Quran. Ancaman-Nya dianggap lalu saja.

Rasulullah SAW memberi gambaran: "Sesungguhnya orang mukmin itu memandang dosa-dosanya seperti orang yang berdiri di bawah gunung, yang mana dia (sentiasa) rasa takut yang gunung itu nanti akan menghempapnya, dan orang yang keji pula memandang dosa-dosa mereka seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang berkata: dengan hanya begini sahaja (iaitu dengan hanya ditepis dengan tangan sahaja) maka dengan mudah sahaja lalat itu terbang. "(HR. Bukhari Muslim)

Imam al-Ghazali mengingatkan, meremehkan dosa dan over confident terhadap amal perbuatannya adalah sangat berbahaya. Sebab katanya, orang yang sibuk menghitung-hitung pahala biasanya lupa terhadap banyaknya dosa.

Orang seperti ini akan mendapatkan kekecewaan di akhirat. Ketika di dunia dia lupa mengira berapa banyak dosa yang telah dilakukan, sehingga dosa-dosanya lupa dimintakan ampun kepada Allah SWT. Ia hanya sibuk mengira jumlah solat, zakat, puasa dan sedekah yang dilakukan.

Ia tidak mengetahui seberapa besar pengiraan pahalanya jika dibanding dosanya. Maka, saat di akhirat ia menyangka membawa pahala, padahal pahalanya berguguran sementara dosanya menumpuk. Inilah fenomena yang disinyalir akan banyak terjadi pada akhir zaman.

Maka dalam beribadah kita mesti mempunyai pengetahuan seimbang antara berita baik dan ancaman Allah SWT. Ancaman-ancaman Allah yang tersebut dalam al-Quran harus menjadi perhatian kita, agar tidak terjebak di dalamnya. Sementara orang yang hanya menumpukan kepada jumlah pahala (berita baik) disebut sebagai jahil. Tidak mengetahui bahawa setiap hari diawasi oleh malaikat Raqib dan 'Atid yang mencatat kebaikan dan keburukan.

Kita pun kadang-kadang terlalu 'asyik' melafazkan huruf demi huruf al-Quran, tapi lupa isi dan pelajaran di baliknya. 'Keasyikan' itu menimbulkan kebanggaan hati, bahawa ia telah melakukan amal baik - iaitu membaca al-Quran sebanyak-banyaknya.

Pernahkan terbisik di dalam hati kita kata-kata ini: "Alhamdulillah, sudah sekian kali al-Quran telah aku khatamkan. Pasti aku masuk syurga ". Ini kata-kata yang menipu. Memastikan diri ini cukup berbahaya. Boleh menimbulkan 'ujub, bahkan melalaikan dosa.

Fenomena ini pernah terjadi pada masa umat nabi Musa as, seperti tertulis dalam al-Quran: "... Maka datanglah sesudah mereka, iaitu generasi yang mewarisi Taurat, yang menghambil harta benda dunia yang rendah ini, sambil berkata: 'Kami akan diberi keampunan oleh Allah. '"(QS. Al-A'raf: 169). Generasi tersebut, berbuat dosa akan tetapi merasa mereka diampuni oleh Allah.

Imam al-Ghazali menjelaskan: "Jika kita terlena menghitung pahala tetapi dosa-dosa dilupakan. Maka kita menjadi orang tertipu terhadap amal kita sendiri. Pada hari pengiraan amal, kita akan terkejut. Sebab ternyata timbangan amal lebih berat daripada pahala yang kita sangka-sangka telah terkumpul. "

Maka, jangan kita tertipu oleh perasaan diri kita sendiri. Yang perlu kita lakukan, bukan asyik mengira pundi-pundi pahala. Setelah beramal, biarlah kita serahkan kepada-Nya. Allah SWT Maha Bijaksana, Dia yang menetapkan pahala kita secara adil. Jangan pula terburu-buru mengatakan "Saya telah ikhlas!". Biasanya orang yang terang-terangan berkata demikian sebaliknya, tidak ikhlas, sebab membawa perasaan 'ujub di hatinya.

Agar tidak terjebak, kita harus mengira dosa yang telah kita lakukan. Sempatkanlah satu-satu masa dalam sehari untuk mengira, berapa kali dosa yang telah kita lakukan sehari ini. Jika tidak ada pengiraan dosa, kita akan terus merasa tidak pernah berbuat dosa.

Allah SWT berfirman: "Tidak ada satu kata pun yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat Raqib dan 'Atid." (QS. Qaaf: 18). Perasaan selalu diawas ini akan menjadikan kita orang yang selalu berhati-hati dalam beribadah. Tidak asal ibadah, tapi tahu ilmu tentang ibadah.

Kita boleh saja memikirkan pahala-pahala dari ibadah, akan tetapi hal itu jangan sampai membuat kita terlena dengan keutamaan-keutamaannya (fadlilah). Keutamaan ini menjadi penyemangat kita bukan melemahkan. Mengetahui keutamaan ibadah sekaligus memahami akibat dari melakukan dosa. Inilah keseimbangan yang perlu dijaga dalam beribadah.

No comments:

There was an error in this gadget
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...