Ilmu dan Amal

“Hai Rasul, sampaikanlah apa yang di turunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika  tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak  menyampaikan amanat-Nya. 
Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia.  Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir”.  QS.Al-Maaidah [5] : 67
Sabda Baginda Rasulullah SAW, "Sampaikanlah dariku,  walaupun hanya satu ayat."
Petikan Minda :
Miskin harta tidak mengapa,
tapi jangan miskin idea dan jiwa.
Miskin idea buntu di dalam kehidupan.

Miskin jiwa mudah kecewa dan derita

akhirnya putus asa yang sangat berdosa.

ASSALLAMUALAIKUM W.B.T

Thursday, January 14, 2010

Pemahaman Konsep ALLAH

Pemahaman Konsep ALLAH
Oleh NURUL IZZAH SIDEK

PENTINGNYA akidah tauhid bagi remaja adalah kerana al-Quran memberikan sempadan tentang persoalan akidah hasil daripada pelbagai aliran agama dan kepercayaan (al-Kafirun: 6).
Al-Quran telah memberi petunjuk bahawa terdapat perbezaan antara akidah tentang agama Islam dan anutan agama lain. Sebagai remaja yang beragama, isu agama adalah isu yang sangat penting dalam hidupnya kerana ia menunjukkan identiti diri serta kepercayaan terhadap konsep agama dan ketuhanan.
Dalam Islam, akidah tauhid yakni meng-Esakan Allah adalah sangat penting. Oleh itu, secara khususnya al-Quran menyatakan dengan jelasnya kalimah Allah dalam pengucapan orang beriman.
Kalimah-kalimah seperti kalimah syahadah (Tiada Tuhan selain Allah, Nabi Muhammad Pesuruh Allah), Alhamdulillah (Allah Maha Besar), Subhanallah (Maha Suci Allah), dan Allahuakbar (Allah Maha Besar) memberi makna bahawa kalimah Allah adalah asas tauhid dan Tuhan yang Esa.
Kalimah Allah diulang-ulang di setiap halaman di dalam al-Quran lebih 20,000 kali. Di dalam solat pula, kalimah Allah disebut sebanyak 425 kali bagi 17 rakaat solat fardu sehari semalam, lantas menunjukkan betapa dekatnya kalimah Allah dengan umat Islam.
Timbul persoalan mengapa isu penggunaan kalimah Allah pada agama lain ini ditimbulkan sedangkan sebelum ini pengamal ajaran Kristian itu menyebut 'Tuhan' dengan bahasa mereka masing-masing.
Malah penganut agama di negara majoriti Kristian juga tidak menukar kalimah Tuhan atau God kepada Allah kerana bimbang akan timbulnya kekeliruan pada penganut mereka.
Umat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan Allah dari kitab suci al-Quran.
Perkataan Allah ini tidak diterjemahkan ke bahasa masing-masing, kerana perkataan Allah tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa al-Quran.
Ilmiah dan telus
Justeru, adakah kebebasan beragama dan bersuara memberi ruang untuk manusia menyatakan hak sesuka hati tanpa memikirkan kesan dan implikasinya pada kaum dan agama lain?
Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia.
Perkara ini perlu dijawab secara ilmiah dan telus, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.
Orang-orang yahudi mendakwa mereka adalah 'orang-orang terpilih' (the chosen people). Orang Kristian percaya kepada Tuhan, tetapi juga percaya kepada konsep triniti (3 dalam 1). Mereka percaya tentang kewujudan tiga entiti membentuk satu Tuhan. Di dalam triniti, ada disebut anak Tuhan (Nabi Isa a.s).
Adapun orang Islam melihat Nabi Isa a.s adalah Rasul yang mulia. Rasul bukanlah anak Tuhan, tetapi juga manusia seperti kita yang terpilih untuk menyampaikan ajaran Allah kepada manusia. Maka titik perbezaan ini adalah besar.
Faham Allah yang sebenar adalah dalam maksud tauhid. Maka penggunaan kalimah Allah adalah serasi dalam Islam, yakni dirujuk pada asas yang satu, dan tidak secocok dengan konsep triniti.
Remaja Islam harus memahami asas ini kerana sekiranya kefahaman tentang Allah digunakan sesuka hati, ia akan memberikan implikasi yang kurang jelas bahawa Allah dalam konteks umat Islam dan Allah dalam pemahaman agama lain adalah sama.
Jika ini terjadi, maka kedua-dua agama akan disamakan, padahal kedua-duanya adalah berbeza.
Tidak dinafikan bahawa wujudnya nilai-nilai kebaikan dalam semua agama, iaitu nilai interaktif untuk hubungan sesama manusia.
Nilai-nilai seperti amanah, adil, jujur, menepati masa, telus dan tulus diamalkan kerana kepercayaan kepada Tuhan memberi asas komunikasi berlangsung.
Apa yang menjadi masalah apabila ada segelintir penganut yang menyeleweng daripada ajaran-ajaran sebenar, lantas seluruh penganutnya dilabel sebegitu.
Namun begitu, dalam tradisi Islam ada nilai tertinggi (supreme) yang tidak boleh disamakan dengan nilai agama lain. Nilai itu adalah akidah tauhid yang apabila dimanifestasi dalam keyakinan, ia membawa kepada maksud kesatuan Allah, kesatuan ciptaan dan kesatuan rahmah.
Oleh itu, remaja Islam amat beruntung kerana nilai yang tertinggi ini menjadi tunjang, kepercayaan, keyakinan dan nilai tertinggi ini juga memberi pedoman bagi remaja memilih jalan hidup yang baik dan sempurna.
Yang berbeza biarlah berbeza, tetapi nilai-nilai yang baik dan murni harus dimanfaati bersama.
Islam menganjurkan perdamaian dan sentiasa mengamalkan musyawarah dalam menyelesaikan setiap perkara. Sepatutnya rasa perbezaan sudah dimengerti dan difahami oleh orang Islam, apatah lagi tinggal dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Implikasi di Malaysia
Apabila langkah menggunakan kalimah Allah dalam agama lain dilaksanakan, ia menjadi perkara sensitif dalam hubungan agama. Sungguhpun masih wujud lagi perdebatan mengenai keterbukaan dan keharusan menggunakan kalimah Allah, tetapi dari konteks Malaysia dan kemaslahatannya, ia tidak wajar ditimbulkan.
Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam serta api pergaduhan yang amat mudah ternyala di celah-celah ruang konflik antara agama.
Dalam negara kita, kedudukan masyarakat Kristian dan agama-agama yang lain adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam. Mahu tidak mahu, ia akan menyentuh perasaan umat Islam, kerana perkataan Allah adalah sangat mulia di sisi umat Islam.
Oleh itu, perbincangan secara ilmiah, khusus dan jujur perlu diadakan antara pihak-pihak terlibat terhadap isu ini. Sekiranya ia menjadi isu perundangan, maka dikhuatiri akan timbul tindak balas pihak tertentu, lalu emosi akan lebih berperanan daripada asas ilmu.
Kaedah Islam atau fikah Islam mengambil pendekatan berbeza, iaitu yang berbeza biarlah berbeza kerana memang sifat faham mengenai Tuhan masing-masing adalah berbeza.
Justeru, menimbulkan isu itu adalah tidak harus berlaku kerana selama ini perkataan Tuhan (sama ada Lord atau God) digunakan dalam agama lain.Sekiranya Allah digunakan persoalan akan timbul adakah ia dirujuk kepada Tuhan yang satu atau konsep triniti.
Perlu ditegaskan bahawa penggunaan God adalah konotasi Tuhan secara umum, manakala Allah adalah khusus baik dari segi makna dan sifatnya. Justeru, hakikat Allah adalah bersifat Esa (satu), dan bukannya banyak.
Sekiranya Allah itu merujuk kepada Tuhan yang satu, maka ia adalah asas kepada kitab Injil asal yang diturunkan kepada Nabi Isa a.s serta ajaran samawi yang lain.
Oleh itu, adalah sesuatu yang silap kepada sesiapa yang menyamakan penggunaan kalimah Allah dalam Islam dengan agama lain, apatah lagi ia bakal mengelirukan akidah umat Islam.
Ia bakal mengelirukan umat Islam, terutamanya remaja Islam yang tidak mempunyai asas agama yang kukuh dan hanya bergantung kepada rasional pemikiran untuk menilai.
Generasi muda Islam perlu lebih peka dalam isu ini dan perlu berfikir sedalam-dalamnya mengenai implikasi isu ini.
Generasi muda secara umumnya perlu mengerti walaupun sering disebutkan mengenai kebebasan beragama, kebebasan sewajarnya memberikan peluang dan pilihan yang terbaik. Dan percaya kepada Allah adalah jawapan terbaik dalam persoalan beragama.
Tuntasnya, remaja perlu meningkatkan pemahaman ilmu tauhid dan memahami dengan jelas tentang kewujudan Allah kerana tanpanya asas akidah akan mudah cair dan menganggap bahawa semua agama adalah benar.
Namun demikian, perlu diingatkan bahawa ajaran Islam tidak membenarkan umatnya mencerca dan memaki agama lain tetapi harus menghormati kepercayaan mereka kerana kefahaman mereka terhadap Tuhan mereka dengan faham mengenai Allah yang Esa tidak sama.
Ketidaksamaan ini harus diraikan secara ilmiah, jujur dan berhemah agar hubungan antara agama dapat berlangsung dalam suasana aman dan harmoni.
Kesimpulan
Isu penggunaan kalimah Allah pada agama lain sememangnya pantas mengundang sensitiviti orang Islam kerana intimnya kalimah Allah pada orang Islam.
Kontroversi tentang kalimah Allah tidak boleh dicapai secara mutlak di mahkamah kerana undang-undang hanya mengutamakan maksud undang-undang semata-mata.
Bagi remaja Islam, ini adalah masa untuk menginsafi diri sendiri akan kewajipan dan kefahaman kita tentang konsep Allah yang Esa.
Barangkali kita masih yakin bahawa kita berpegang teguh pada ajaran Islam, tetapi bagaimana dengan generasi akan datang yang makin dihimpit dengan arus globalisasi dan limpahan maklumat dari pelbagai arah.
Pastinya badai ini tidak mampu ditongkah tanpa adanya ilmu dan iman di dada. Oleh itu amat penting remaja memahami asas tauhid supaya tidak tergelincir dari landasan yang benar.
Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya. (al-Ikhlas: 1-4)

No comments:

There was an error in this gadget
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...