Ilmu dan Amal

“Hai Rasul, sampaikanlah apa yang di turunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika  tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak  menyampaikan amanat-Nya. 
Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia.  Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir”.  QS.Al-Maaidah [5] : 67
Sabda Baginda Rasulullah SAW, "Sampaikanlah dariku,  walaupun hanya satu ayat."
Petikan Minda :
Miskin harta tidak mengapa,
tapi jangan miskin idea dan jiwa.
Miskin idea buntu di dalam kehidupan.

Miskin jiwa mudah kecewa dan derita

akhirnya putus asa yang sangat berdosa.

ASSALLAMUALAIKUM W.B.T

Monday, February 6, 2012

‘Rasulullah s.a.w adalah manusia, tetapi bukan seperti manusia biasa'


Oleh Ustaz Zaman

MUHAMMAD SAW adalah seorang insan terpilih daripada kalangan Bani Hashim untuk menyampaikan risalah rabbaniah kepada umat manusia. Dilahirkan daripada sulbi Abdullah dan Aminah di kota suci Makkah ketika perhambaan kepada manusia semakin memuncak.

Tiada nas sahih dan nyata bagi ulama dan hadis bahawa Baginda SAW adalah makhluk yang mula-mula dicipta di muka bumi ini. Ada pendapat yang menyatakan ciptaan terawal adalah qalam. Ada yang menyatakan ciptaan terawal adalah akal.
Namun, daripada riwayat kelahiran Baginda SAW menyebut bahawa Allah SWT menciptakan secebis daripada nur-Nya dan berkata: ‘Jadikanlah kamu sebagai Muhammad’, dan itulah ciptaan terawal yang mana kerana Baginda, Allah mencipta langit dan bumi sehingga ada yang berselawat ‘Selawat dan salam buatmu (Muhammad SAW) wahai orang yang mula-mula diciptakan’.
Bagaimanapun dalil di atas tidak dapat dijadikan hujah kuat menurut ahli hadis di atas perkara demikian kerana pujian daripada Allah SWT untuk Baginda SAW di dalam al-Quran adalah ciri-ciri kelebihan yang ada padanya melalui firman-Nya: “Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) mempunyai pekerti tinggi dan mulia.” (Surah Al-Qalam ayat 4).

Apa yang jelas di sini, Baginda adalah manusia biasa yang dipilih untuk menyampaikan risalah Tuhan-Nya. Banyak bukti menerusi firman Allah SWT yang mengangkat martabat Nabi Muhammad SAW antaranya, “Katakanlah (wahai Muhammad)
bahawa aku adalah manusia seperti kamu yang menerima wahyu.” (Surah al-Kahfi ayat 110). “Katakanlah maha suci Tuhan bahawa aku adalah manusia biasa.” (Surah al-Isra’ ayat 93).

Baginda juga menghadapi kematian dan soalan Malaikat. Firman Allah SWT: “Dan ingatlah tatkala Allah SWT mengumpulkan semua rasul, lalu ditanyakan mengenai jawapan kaum mereka terhadap seruan Allah SWT. Rasul menjawab sesungguhnya Engkaulah Allah yang maha mengetahui.” (Surah al-Maidah ayat 109).
“Sesungguhnya engkau (Muhammad) akan mati seperti mereka juga).” (Surah az-Zumar ayat 30).
Ia menunjukkan bahawa Baginda SAW adalah ciptaan yang sama seperti manusia lain dari pandangan lahiriah dan mata kasar (maddah). Tetapi pada pandangan kenabian dan risalah, Baginda adalah cahaya penyuluh kepada hakikat dan kebenaran.

Firman Allah SWT: “Dan kamu (Muhammad) sebagai penyeru kepada agama Allah dengan izinnya dan sebagai cahaya yang menerangi.” (Surah al-Ahzab ayat 46).
Allah turut menyeru ahli kitab dengan sabdanya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu sekalian cahaya (Muhammad) dan kitab yang memberi penjelasan.” (Surah al-Maidah ayat 15).

Baginda juga digambarkan sebagai cahaya dan banyak riwayat menyebut mengenai cahaya yang terpancar pada wajah Baginda SAW ketika berhadapan dengan sahabat RA. Baginda pernah berdoa: ‘Ya Allah, jadikanlah lubuk hatiku, pandanganku, pendengaranku, tulang dan dagingku, rambut serta di kiri dan kananku sebagai cahaya bersinar’. (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas).

Alangkah baiknya doa ini diamalkan umat Islam bagi menggantikan amalan syirik yang dilakukan sesetengah pihak hanya semata-mata untuk memperlihatkan wajah yang cantik berseri.

Tidak kurang pula yang membelanjakan ribuan ringgit setiap bulan untuk tujuan itu. Mereka perlu disedarkan bahawa amalan syirik adalah satu dosa besar.
Pembaziran masa dan wang ringgit adalah satu sifat buruk yang dilarang agama.

Dari kesan fizikal yang ada pada Baginda SAW amatlah berbeza dari manusia biasa yang mana sahabat pernah mengambil keberkatan dari wuduk Baginda SAW serta menjadikan peluh Baginda sebagai wangi-wangian.

Najis yang ditinggalkan oleh Baginda ditelan bumi sehingga tidak dapat dikesan oleh sahabat. Rambut yang dicukur Baginda SAW juga disimpan oleh sahabat untuk mendapat keberkatan serta penawar untuk menyembuhkan penyakit.

Sempena menyambut Maulidur Rasul pada tahun ini, marilah sama-sama kita hayati kehidupan Baginda SAW serta mencontohi dan mengamalkan segala apa yang ditinggalkan Baginda SAW.

Marilah kita mengambil jalan selamat supaya masyarakat tidak keliru dengan kenyataan yang dibuat mengenai diri Baginda SAW. Ulama yang berbeza pendapat boleh bertemu dan bermusyawarah sebelum apa-apa keputusan dibuat demi kesatuan masyarakat seluruhnya.

Firman Allah berksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku.”

Benarlah ungkapan Arab menyebut “Wahai Muhammad, kamu adalah manusia tetapi kamu bukan seperti manusia”.

No comments:

There was an error in this gadget
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...