PAS kini berjuang untuk DAP: Tun M
KUALA LUMPUR: PAS kini tidak lagi fokus memperjuangkan Islam sebaliknya lebih kepada berjuang mempertahankan DAP, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, pemikiran orang Melayu dalam parti itu telah jauh berubah berbanding semasa PAS di bawah kepimpinan bekas Yang Dipertuanya Allahyarham Prof Burhanuddin Al Helmi dan bekas Presiden Allahyarham Datuk Asri Muda.
Beliau berkata, ketika ini pemimpin dan anggota PAS sanggup bermati-matian mempertahankan DAP walaupun sebelum ini Pengerusi DAP Karpal Singh menyanggah gagasan penubuhan negara Islam seperti yang dikehendaki parti itu.
"Sampaikan Nik Aziz (Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) sekarang bukan main lagi pertahankan DAP, dulu tengok DAP pun tak boleh bila DAP kata langkah mayat kami dulu kalau hendak tubuh negara Islam.
"Tetapi sekarang ini orang PAS pula kata langkah mayat aku kalau hendak dera Karpal Singh... suasana dah terbalik," katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Cheras di Dewan Utama, Pusat Rekreasi Cheras di sini, hari ini.
Bekas presiden Umno itu berkata perpecahan di kalangan orang Melayu hari ini juga dimulakan oleh PAS apabila ulamak yang asalnya dalam Umno bertindak keluar parti dan menubuhkan PAS setelah tidak berpuas hati kerana tidak diberikan tempat.
"Puncanya orang Umno yang pandai bahasa Inggeris diberi tempat, mereka golongan yang pandai bahasa Arab tetapi tidak pandai bahasa Inggeris merasa tidak diberi tempat," katanya.
Dr Mahathir juga menyelar tindakan Nik Aziz yang gemar memutar belit ayat al-Quran dan berbohong demi untuk mengekalkan kuasa. Menteri Besar Kelantan itu dakwa Dr Mahathir sanggup berkata dengan memetik
ayat al-Quran bahawa tidak salah orang Islam berpecah dua.
Beliau berkata, atas landasan itulah, Umno dari dulu lagi menyangkal yang PAS memperjuangkan Islam dan keadaan itu makin ketara apabila semakin banyak pembohongan yang dibuat oleh pemimpin PAS itu. -- BERNAMA
----------------------------------------------------------------------------------------------------
KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS
"PAKATAN RAKYAT MEMPERKASA ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI NEGARA MALAYSIA"
8 Mei 2011
Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan ini ingin mempertegaskan bahawa kami bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat telah meletakkan asas yang sama dalam menerajui politik negara sebagaimana yang telah dipersetujui dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Shah Alam (2009) dan diperkukuhkan menerusi Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang (2010) iaitu akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini. Tekad ini adalah suatu ikrar yang terpahat dalam polisi bersama Pakatan Rakyat.
Oleh yang demikian hirup pikuk yang di lemparkan oleh media tertentu bertujuan untuk membakar semangat rakyat terutamanya di kalangan orang melayu beragama Islam, bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara Kristian adalah suatu pemberitaan yang sangat tidak beramanah.
Kegagalan mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kealpaan dan kelemahan pimpinan UMNO yang telah diberi amanah memerintah negara selama lebih dari 50 tahun ini. Merekalah yang sebenarnya gagal memperkasakan Islam sebagai agama persekutuan, sehingga gagal menyediakan kefahaman Islam yang sebenar kepada rakyat, melemahkan jati diri orang melayu
beragama Islam, dan seterusnya menghadapi kecelaruan sakhsiah dan bencana akidah yang tidak mampu untuk menguatkan orang melayu beragama Islam dalam negara kita ini.
Apa lagi yang boleh diharapkan dari UMNO, kerana mereka juga gagal memberikan kefahaman Islam sebenar dan seterusnya gagal menunjukkan contoh Islam yang unggul kepada rakan mereka MCA dalam Barisan Nasional. Hasilnya kita dapat lihat sendiri bagaimana pendirian dan kenyataan politik pimpinan MCA ini semakin hari semakin hanyut dan menampakkan kecelaruan dalam memahami Islam sebagai
agama rasmi negara kita ini.
Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Ahad, 4 Jamadil Akhir 1432 / 8 Mei 2011
Nota:
Kenyataan dangkal bekas seorang pemimpin negara yang berkiblatkan dunia dan sekular selamanya akan memandang PAS sebagai batu penghalang utama BN mengekalkan kuasa di negara ini.Diciptakan pelbagai polemik dan isu yang mana isu itu sendiri terhapus dengan kelakuan pemimpin BN itu sendiri yang lebih mementingkan kuasa ,tamak haloba,bongkak dan meninggi diri.
Beliau juga mengatakan Melayu mudah lupa dan beliau juga lupa dan pura-pura tidak nampak bilamana Nik Aziz memutarkan ayat Quran yang tentunya berasaskan dari ayat Al-Quran sendiri.Bila pulak Nik Aziz mencipta ayat Al-Quran sendiri jika bukan kerana kedangkalan beliau sendiri mengkaji ayat Al-Quran.
Sesungguhnya kesombongan dan riak ibarat pucuk terlupa kepada akar yang mewujudkannya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya sifat sombong sekalipun hanya seberat debu. Lalu seorang sahabat bertanya: “Sesungguhnya ada orang yang suka pakaian dan kasutnya cantik. Rasulullah SAW menjawab dengan sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu indah dan suka kepada keindahan. Sombong itu adalah menolak yang hak dan menghina orang lain.”
– Hadis riwayat Muslim
Sifat sombong atau takbur boleh dikenali melalui dua jenis, iaitu takbur zahir dan takbur batin. Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakan. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggap lebih rendah ilmu pengetahuan daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan iaitu tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat orang lain.
No comments:
Post a Comment