Petikan ini membincangkan tentang hadits-hadits yang menyatakan Nabi s.a.w. mempunyai uban tetapi dalam kadar yang sedikit iaitu di rambut bahagian tepi, pelipis (jambang) dan janggut sepat (iaitu janggut bawah bibir). Dalam hadits-hadits Shahih Muslim: Bab Uban Nabi s.a.w, perawi hadits ada menyebutkan bahawa Allah s.w.t tidak memburukkan rupanya, mencacatkannya, memburukkan atau meng`aibkannya dengan yang putih (ya`ni uban yang banyak)
Ini bermakna uban adalah suatu kekurangan, kecacatan dan juga suatu ke`aiban. Begitulah pada dasarnya dan demikian juga apa difahami oleh para sahabat .
Uban adalah proses yang biasa terjadi kepada orang yang meningkat umurnya bagi mereka yang normal sihatnya sama ada dengan kadar sedikit atau banyak.
Timbul persoalan, adakah Nabi s.a.w. berkhidob ya`ni memakai pewarna atau pun memakai dai rambut?
Dalam hadits Muslim ini, boleh dikatakan Anas r.a. menafikannya berkemungkinan kerana:
i. Baginya tidak perlu kerana tidak sampai ke tahap yang memerlukan nabi s.a.w. memakai khidob atau inai maka dia menafikannya.
ii. Boleh jadi juga Anas tidak tahu.
iii. Jarangnya Nabi s.a.w. melakukannya sehingga tidak boleh dihitung maka dengan itu beliau tidak menyebutnya.
Tetapi sahabat-sahabat dan sahabiah lain seperti isterinya sendiri Ummi Salamah menceritakan memang ada Nabi s.a.w. memakai khidob / pewarna rambut untuk menunjukkan keharusannya bahkan menjadi sunnah Nabi s.a.w.
Tetapi di Malaysia sunnah ini agak kurang diamalkan berkemungkinan kerana kurang mendalami hadits Nabi s.a.w. yang membawa kepada salah faham terhadap cara dan tujuan baginda melakukannya. Contohnya:
i. Tujuan sebenar mewarna atau menginai rambut dizaman Nabi s.a.w. hanya sebagai strategi peperangan iaitu supaya kelihatan muda.
ii. Kebanyakan orang menganggap menginai atau mewarnakan rambut hanya dalam warna merah dan ini menyebabkan janggut atau rambut menjadi kuning dan kelihatan hodoh serta janggal kerana tidak menyerupai rupa asal.
iii. Bahkan ada juga yang mengatakan haram menginai dengan selain warna merah. Sebenarnya fahaman yang begitu adalah silap dan menyalahi apa yang terdapat di dalam hadits-hadits Shahih seperti Bukhari, Muslim dan kitab-kitab sunan lain.
iv. Tidak redha dengan keputusan tuhan ya`ni tidak menerima hakikat yang empunya diri sudah pun tua.
Salah Faham Tentang Adanya / Tsabitnya Hadits Tentang Khidob / Pewarna Rambut
Sekiranya kita perhatikan hadits-hadits dalam Shahih Muslim ini (Bab Uban Nabi s.a.w.) maka kita kan didapati walaupun Anas menafikannya tetapi beliau tidak menafikan Abu Bakar dan `Umar berkhidob dan perkara ini tentu diketahui oleh baginda s.a.w.
Bahkan dalam riwayat lain yang disebutkan dalam kitab-kitab Sunan menyebutkan bahawa Nabi s.a.w. sendiri yang mengkhidob ya`ni mewarnakan rambutnya. Jelas daripada hadits-hadits Muslim menunjukkan ubannya hanya sedikit. Ini menunjukkan keutamaan dan kelebihan mengkhidob ya`ni mewarnakan rambut kerana walaupun sedikit baginda tetap memakai khidob. Apatah lagi kepada mereka yang banyak ubannya maka sudah tentu lebih patut untuk memakainya.
Begitu juga dengan Saidina `Umar yang mana hadits-hadits menyebutkan bahawa beliau seorang yang botak dari tengah sehingga ke dahi. Ini menunjukkan Saidina `Umar hanya boleh mewarnakan rambut di tepi dan belakang kepalanya sahaja, pun begitu Saidina `Umar masih mahu mengkhidob rambutnya.
Salah Faham Tentang Warna Yang Diharuskan
Sesetengah pendapat hanya mengharuskan warna merah tetapi ini tidak tepat dan bercanggah dengan sebilangan hadits yang lain. Memang tidak dinafikan, ada ketikanya Saidina `Umar hanya menggunakan hinnat (inai). Ini menyebabkannya menjadi merah tetapi banyak lagi hadits-hadits lain yang menyebutkan Abu Bakr dan `Umar berkhidob menggunakan hinnat (inai) yang dicampurkan dengan katam (sejenis nama daun) yang mana menjadikan khidob ini berwarna kehitaman.
Selain itu keharusan menggunakan warna merah sahaja adalah tidak logik di Malaysia selain tidak bertepatan dengan hadits di mana salah satu tujuannya ialah untuk kelihatan muda dalam peperangan tetapi dengan memakai pewarna atau khidob berwarna merah tentulah tidak akan sampai maksudnya kerana mewarnakan rambut dengan warna merah tidak menampakkan seseorang itu lebih muda memandangkan rambut orang melayu yang muda belia berwarna hitam dan bukannya merah.
Daripada sini dapat kita fahami bahawa:
- Warna adalah mengikut warna asal rambut mengikut kaum masing-masing supaya sampai maksud dan tujuannya.
- Tidak harus mewarnakan rambut warna biru kerana tidak ada manusia yang warna asal rambutnya biru dalam dunia ini.
Salah Faham Tentang Tujuan Pemakaian
Tidak dinafikan bahawa salah satu tujuan pemakaian khidob atau pewarna rambut ini adalah supaya kelihatan muda sebagai salah satu strategi peperangan untuk memperdayakan pihak musuh tetapi terdapat juga hadits-hadits yang menyatakan pemakaiannya bukan ketika peperangan seperti yang diriwayatkan dalam hadits Shahih Muslim.
Nabi s.a.w. sendiri mahu ummatnya kelihatan cantik, segar dan sihat. Dari segi psikologinya semangat kita menjadi bertambah lemah apabila melihat diri sendiri di cermin dengan putihnya rambut berbeza dengan seorang yang mewarnakan rambutnya kembali ke warna asal yang mana mampu memotivasikan dirinya untuk lebih bersemangat.
Penggunaan Alat Pewarna Moden
Tidak ada dalil yang menunjukkan kemestian menggunakan alat tertentu sahaja. Sebagai contoh, Nabi s.a.w. memakai seluar. Maka adakah perlu diperincikan seluar yang bagaimana baginda pakai. Adakah seluar yang diharuskan itu mempunyai zip? Maka begitulah juga dengan pewarna yang digunakan, ianya berubah mengikut peredaran zaman dan perubahan teknologi. Oleh itu menggunakan apa-apa bahan untuk mendapatkan warna asal rambut adalah harus selagi bahan-bahan tersebut selamat, iaitu tidak membahayakan dan meninggalkan kesan warna serta bau walaupun terhadap bantal.
Selain itu, setelah melalui arus kemodenan pewarna juga dikategorikan mengikut bahagian-bahagiannya yang khusus demi keberkesanan dan supaya sampai maksudnya. Contohnya pewarna khusus untuk janggut, khusus untuk rambut-rambut di bahagian muka dan sebagainya.
Mewarnakan Rambut Beruban Menunjukkan Tidak Redha Atau Tidak Terima Hakikat
Perbuatan Nabi s.a.w dan sahabat-sahabatnya mewarnakan rambut jelas menafikan pendapat yang mengatakan mewarnakan rambut menunjukkan seseorang tidak redha dengan ketentuan Allah bahkan siapa lagi yang lebih redha dengan ketentuan Allah kalau bukan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.
Hadits-hadits juga menunjukkan mereka mewarnakan rambut pada ketika mereka sudah pun tua dan mereka melakukannya bukan sahaja ketika perang.
Ini membuktikan ini bukan sahaja harus bahkan menjadi sunnah Nabi dan para sahabat mewanakan rambut, jambang, janggut dan misai berdasarkan hadits-hadits yang shahih.
Disediakan oleh Mohd Nazri Hassan
nota :
Rambut penulis mulai beruban sekitar umur awal 30an,agak muda utk beruban secara semulajadi kerana faktor umur meningkat mungkin,saban tahun makin banyak dan lebat serta mulai gatal-gatal dan tumbuh kudis disekitar kepala.Penulis mengambil ikhtiar untuk mewarnakan rambut dengan inai yang telah diproses dengan niat dan tujuan untuk mengurangkan kegatalan akibat kudis sekaligus mengurangkan uban di rambut.Alhamdulillah,uban berkurangan dan penyakit kudis dikepala menyusut dan kegatalan juga sekaligus menghilang.
Apa yang penting adalah niat dan bukan berniat mengubah ketentuan Allah.Umur kita tetap meningkat dan hakikat itu tetap tidak berubah mengisyaratkan bahawa amal yang akan dibawa perlu di suburi dengan amalan zikir dan solat setiap hari tanpa culas.
No comments:
Post a Comment