Ilmu dan Amal

“Hai Rasul, sampaikanlah apa yang di turunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika  tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak  menyampaikan amanat-Nya. 
Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia.  Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir”.  QS.Al-Maaidah [5] : 67
Sabda Baginda Rasulullah SAW, "Sampaikanlah dariku,  walaupun hanya satu ayat."
Petikan Minda :
Miskin harta tidak mengapa,
tapi jangan miskin idea dan jiwa.
Miskin idea buntu di dalam kehidupan.

Miskin jiwa mudah kecewa dan derita

akhirnya putus asa yang sangat berdosa.

ASSALLAMUALAIKUM W.B.T

Showing posts with label Mahathir. Show all posts
Showing posts with label Mahathir. Show all posts

Saturday, September 1, 2012

Peristiwa Memali-sejarah selepas merdeka yang dilupakan....



Pergi Jahanam Dengan Islam!


 .  . Perhimpunan Agung Umno 1985, wakil Kedah berucap meminta kerajaan terutamanya Menteri Dalam Negeri bertindak tegas menangkap Ust. Ibrahim Libya, yg kononnya menjadikan Kg. Memali sbg sarang subversif yg menghimpun senjata utk menjatuhkan kerajaan secara kekerasan. Rentetan dari itu membuat kerajaan bertindak, namun tiada siapa yg menyangkakan pihak kerajaan akan sampai ke peringkat sehingga sanggup membunuh.... Kerajaan melancarkan operasi yg dinamakan...                       OPS HAPUS

Monday, May 9, 2011

PAS berjuang kerana Allah,bukan DAP,bukan BN...


PAS kini berjuang untuk DAP: Tun M

KUALA LUMPUR: PAS kini tidak lagi fokus memperjuangkan Islam sebaliknya lebih kepada berjuang mempertahankan DAP, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pemikiran orang Melayu dalam parti itu telah jauh berubah berbanding semasa PAS di bawah kepimpinan bekas Yang Dipertuanya Allahyarham Prof Burhanuddin Al Helmi dan bekas Presiden Allahyarham Datuk Asri Muda.

Beliau berkata, ketika ini pemimpin dan anggota PAS sanggup bermati-matian mempertahankan DAP walaupun sebelum ini Pengerusi DAP Karpal Singh menyanggah gagasan penubuhan negara Islam seperti yang dikehendaki parti itu.

"Sampaikan Nik Aziz (Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) sekarang bukan main lagi pertahankan DAP, dulu tengok DAP pun tak boleh bila DAP kata langkah mayat kami dulu kalau hendak tubuh negara Islam.

"Tetapi sekarang ini orang PAS pula kata langkah mayat aku kalau hendak dera Karpal Singh... suasana dah terbalik," katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Cheras di Dewan Utama, Pusat Rekreasi Cheras di sini, hari ini.

Bekas presiden Umno itu berkata perpecahan di kalangan orang Melayu hari ini juga dimulakan oleh PAS apabila ulamak yang asalnya dalam Umno bertindak keluar parti dan menubuhkan PAS setelah tidak berpuas hati kerana tidak diberikan tempat.

"Puncanya orang Umno yang pandai bahasa Inggeris diberi tempat, mereka golongan yang pandai bahasa Arab tetapi tidak pandai bahasa Inggeris merasa tidak diberi tempat," katanya.

 Dr Mahathir juga menyelar tindakan Nik Aziz yang gemar memutar belit ayat al-Quran dan berbohong demi untuk mengekalkan kuasa. Menteri Besar Kelantan itu dakwa Dr Mahathir sanggup berkata dengan memetik
ayat al-Quran bahawa tidak salah orang Islam berpecah dua.

Beliau berkata, atas landasan itulah, Umno dari dulu lagi menyangkal yang PAS memperjuangkan Islam dan keadaan itu makin ketara apabila semakin banyak pembohongan yang dibuat oleh pemimpin PAS itu. -- BERNAMA

----------------------------------------------------------------------------------------------------
KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS


"PAKATAN RAKYAT MEMPERKASA ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI NEGARA MALAYSIA"
8 Mei 2011
Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan ini ingin mempertegaskan bahawa kami bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat telah meletakkan asas yang sama dalam menerajui politik negara sebagaimana yang telah dipersetujui dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Shah Alam (2009) dan diperkukuhkan menerusi Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang (2010) iaitu akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini. Tekad ini adalah suatu ikrar yang terpahat dalam polisi bersama Pakatan Rakyat.

Oleh yang demikian hirup pikuk yang di lemparkan oleh media tertentu bertujuan untuk membakar semangat rakyat terutamanya di kalangan orang melayu beragama Islam, bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara Kristian adalah suatu pemberitaan yang sangat tidak beramanah.

Kegagalan mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kealpaan dan kelemahan pimpinan UMNO yang telah diberi amanah memerintah negara selama lebih dari 50 tahun ini. Merekalah yang sebenarnya gagal memperkasakan Islam sebagai agama persekutuan, sehingga gagal menyediakan kefahaman Islam yang sebenar kepada rakyat, melemahkan jati diri orang melayu
beragama Islam, dan seterusnya menghadapi kecelaruan sakhsiah dan bencana akidah yang tidak mampu untuk menguatkan orang melayu beragama Islam dalam negara kita ini.

Apa lagi yang boleh diharapkan dari UMNO, kerana mereka juga gagal memberikan kefahaman Islam sebenar dan seterusnya gagal menunjukkan contoh Islam yang unggul kepada rakan mereka MCA dalam Barisan Nasional. Hasilnya kita dapat lihat sendiri bagaimana pendirian dan kenyataan politik pimpinan MCA ini semakin hari semakin hanyut dan menampakkan kecelaruan dalam memahami Islam sebagai
agama rasmi negara kita ini.


Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Ahad, 4 Jamadil Akhir 1432 / 8 Mei 2011


Nota:
Kenyataan dangkal bekas seorang pemimpin negara yang berkiblatkan dunia dan sekular selamanya akan memandang PAS sebagai batu penghalang utama BN mengekalkan kuasa di negara ini.Diciptakan pelbagai polemik dan isu yang mana isu itu sendiri terhapus dengan kelakuan pemimpin BN itu sendiri yang lebih mementingkan kuasa ,tamak haloba,bongkak dan meninggi diri.

Beliau juga mengatakan Melayu mudah lupa dan beliau juga lupa dan pura-pura tidak nampak bilamana Nik Aziz memutarkan ayat Quran yang tentunya berasaskan dari ayat Al-Quran sendiri.Bila pulak Nik Aziz mencipta ayat Al-Quran sendiri jika bukan kerana kedangkalan beliau sendiri mengkaji ayat Al-Quran.
Sesungguhnya kesombongan dan riak ibarat pucuk terlupa kepada akar yang mewujudkannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya sifat sombong sekalipun hanya seberat debu. Lalu seorang sahabat bertanya: “Sesungguhnya ada orang yang suka pakaian dan kasutnya cantik. Rasulullah SAW menjawab dengan sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu indah dan suka kepada keindahan. Sombong itu adalah menolak yang hak dan menghina orang lain.”
– Hadis riwayat Muslim

Sifat sombong atau takbur boleh dikenali melalui dua jenis, iaitu takbur zahir dan takbur batin. Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakan. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggap lebih rendah ilmu pengetahuan daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan iaitu tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat orang lain.



Tuesday, February 8, 2011

Isu Nasionalisme : Jawapan Nik Aziz kepada T.Mahathir



Isu Nasionalisme: Jawapan Saya untuk Tun Mahathir
Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.
Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya. Firman Allah SWT :
يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24

Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.
Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi. Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.
Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. Firman Allah SWT :
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
Yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)
Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya.
Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh? Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?
Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46. Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.
Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia. Allah SWT berfirman :
وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ وَلَكُمْ فِي الأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَى حِينٍ
Yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”. – (Surah al-Baqarah, ayat 36)
Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya. Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya :
فرقت به جماعتهم!
Yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!
Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang? Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal.
Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO? Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.
Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?
Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar. Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!
Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebutWahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT. Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar.
Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan. Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?
Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : اللهم قد بلغت (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)
Sekian.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.
29 Safar 1432H / 2 Februari 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...