Ilmu dan Amal

“Hai Rasul, sampaikanlah apa yang di turunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika  tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak  menyampaikan amanat-Nya. 
Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia.  Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir”.  QS.Al-Maaidah [5] : 67
Sabda Baginda Rasulullah SAW, "Sampaikanlah dariku,  walaupun hanya satu ayat."
Petikan Minda :
Miskin harta tidak mengapa,
tapi jangan miskin idea dan jiwa.
Miskin idea buntu di dalam kehidupan.

Miskin jiwa mudah kecewa dan derita

akhirnya putus asa yang sangat berdosa.

ASSALLAMUALAIKUM W.B.T

Sunday, November 21, 2010

Kepercayaan yang dikianati

Berita ini berkaitan....

KUALA LUMPUR: Ada ibu bapa percaya rakan anak datang ke rumah untuk belajar, tetapi akhirnya padah menimpa apabila alasan belajar diberi berakhir di bilik tidur.

Ada pula percaya anak berterus terang meminta izin untuk keluar dengan rakan sama ada lelaki atau perempuan untuk belajar, tetapi melencong ke tempat lain hingga kesudahannya ‘mendapat ilmu’ hal berkaitan seks.

Wartawan Metro Ahad menemui seorang remaja yang terlanjur seawal usia 13 tahun. Malah, seorang pelajar berusia 15 tahun yang ditemui di pusat siber di sini mengakui kerap melakukan seks oral bersama pasangan.

Mereka mengakui bukan daripada keluarga berantakan tetapi mengambil kesempatan di atas kepercayaan dan kealpaan ibu bapa yang bukannya tidak memberi didikan agama, malah bersikap tegas.

Berikut kisah dua pelajar yang ‘dahaga di awal usia’.



KES 1 - ADILAH, 13:

“SAYA mula disentuh teman lelaki awal tahun ini. Itulah kali pertama saya melakukan hubungan seks, saya sendiri tidak menyangka akan terlanjur dan ia berlaku dalam sekelip mata.

Ketika itu teman lelaki ‘cinta monyet’ saya (dikenali sebagai Helmi) berusia 12 tahun datang ke rumah untuk menghantar buku sekolah. Dia pernah beberapa kali datang ke rumah untuk belajar bersama dan ibu bapa saya mengenalinya.

Ayah dan ibu tiada di rumah kerana bekerja. Yang ada hanya adik saya.

Entah mengapa, tiba-tiba Helmi beria-ia mengajak saya masuk ke bilik. Hati saya berdebar-debar dan perasaan bercampur baur masa itu.

Sebaik masuk ke bilik, tanpa melengahkan masa Helmi terus menutup pintu. Entah mengapa saya merelakan saja. Kami terlanjur dan semuanya berlaku terlalu pantas.
Ayah dan ibu tidak mengesyaki apa-apa antara kami. Tambahan pula mereka mengenali Helmi dan tahu kami berkawan.

Helmi sudah beberapa kali datang ke rumah sebab tempat tinggal kami berdekatan. Mungkin dalam usia begini ayah dan ibu tidak percaya kami boleh terlanjur hingga melakukan hubungan seks, tetapi itulah hakikatnya.

Mereka (ayah dan mak) juga percaya dengan saya. Segala yang saya inginkan akan dipenuhi kerana saya anak sulung, meskipun tidak semuanya akan mereka beri.

Pun begitu, dalam masa sama saya takut dengan mereka. Mereka tegas dan sentiasa mengawal tindak tanduk serta segala aktiviti harian saya. Ayah adalah pensyarah manakala ibu guru sekolah menengah.

Dalam diam, mereka tidak tahu banyak perkara negatif antara saya dan rakan. Di kalangan rakan seusia, kami biasa melihat video lucah. Bercerita mengenai seks juga satu kebiasaan buat kami sejak usia saya 12 tahun lagi.

Telefon bimbit diberi ibu dan ayah dijadikan tempat menyimpan video lucah. Saya tidak berani berbuat demikian, tetapi tetap melihat video lucah di telefon bimbit rakan.

Saya terlanjur dengan kekasih juga sebab masing-masing ada perasaan ingin mencuba. Kerana ‘kesilapan’ pertama itu juga, akhirnya saya mengandung.

Selepas beberapa lama, saya tidak datang bulan. saya cuba beritahu ibu, tetapi takut untuk berbuat demikian.

Melihat perubahan diri saya, seorang saudara menyarankan saya membuat pemeriksaan doktor. Ayah dan ibu terkejut. Mereka tidak percaya dan menafikan saya boleh terlanjur sejauh itu.

Saya hanya mendiamkan diri dan tidak berkata apa-apa kerana takut. Ayah dan mak paksa saya memberitahu hal sebenar, namun saya juga menafikan sudah melakukan hubungan seks sebelum ini.

Akhirnya, ketika pemeriksaan dilakukan, saya disahkan mengandung. Ayah dan ibu sangat kecewa dan terpaksa menerima hakikat itu.

Saya dikurniakan cahaya mata lelaki. Dalam gembira menimang cahaya mata, saya turut kesal atas apa yang berlaku. Namun, semuanya sudah terlambat.

Saya lukakan hati ayah dan emak. Anak saya pula akan dihantar kepada keluarga angkat.

Tiada apa yang dapat saya lakukan melainkan rasa kesal yang tidak sudah-sudah, tetapi saya percaya masih ada ruang dan peluang untuk saya berubah.


KES 2 - RAHMAN, 15:

“SAYA mengenali seks sejak sekolah rendah lagi. Ada saja peluang ke pusat siber, saya dan rakan suka memasuki laman web lucah.

Selepas memasuki sekolah menengah, pergaulan saya bertambah luas dan bebas. Saya mula ikut rakan yang lebih tua daripada saya jadi mat motor (rempit).

Tak usah cakaplah mengenai rakan perempuan, apabila bergelar mat motor semua itu datang dengan sendirinya. Saya juga memiliki teman wanita (Liana, 15), dia rakan satu sekolah. Sudah hampir enam bulan kami bercinta.

Setiap malam, kami sentiasa habiskan masa bersama. Biasanya, saya beritahu ayah dan ibu keluar malam berjumpa Liana untuk belajar bersama. Mereka kenal Liana dan tahu hubungan kami.

Bukan semua masa saya luangkan dengan Liana untuk belajar. Kami suka lepak di pusat siber bersama untuk melayari laman web lucah, selain seronok melayani Facebook dan Hi5 bagi mencari kenalan baru.

Hujung minggu, saya dan Liana keluar merayau di Kuala Lumpur bersama rakan mat motor yang lain.

Ke mana saya pergi, keluarga jarang cari. Abang dan kakak tidak pernah ambil peduli apa yang saya lakukan. Ayah juga tidak pernah marah saya bawa motosikalnya ke mana-mana pun. Saya anak ketiga daripada lima beradik.

Ayah kata, bagus juga saya belajar menunggang motosikal sekarang. Nanti, senang nak ambil lesen memandu nanti (pada usia 16 tahun).

Dalam keluarga, ayah memang ‘sporting’. Saya dan dia macam kawan, saya cuma dilarang hisap rokok, sekalipun dia tidak tahu saya merokok sejak tingkatan satu lagi. Liana juga merokok.

Dia (ayah) pesan pada saya, yang penting sekali belajar rajin-rajin. Ayah dan ibu percaya dan sayang saya.

Ayah tidak tahu saya pernah hisap ganja. Kadangkala ada rakan sekolah yang ‘senior’ beli ganja, kami kongsi bersama-sama. Saya belajar hisap ganja selepas tamat Penilaian Menengah Rendah (PMR) awal Oktober lalu. Biasanya kami beli dengan hasil perkongsian wang.

Bersama Liana, saya sangat bahagia. Saya cintakan dia, banyak perkara kami kongsi bersama. Banyak yang pernah kami lakukan bersama untuk mencuba sesuatu yang baru.

Apabila ada kesempatan berdua-duaan, kami suka menonton video klip lucah di rumah Liana bersama abangnya (berusia 17 tahun).

Kami tidak pernah terlanjur lagi setakat ini, tetapi kerap melakukan seks oral bersama.

Di kalangan rakan, soal seks perkara biasa. Saya ada banyak koleksi video klip lucah dalam telefon bimbit.

Pernah saya terfikir melakukan hubungan seks dengan Liana, tetapi abangnya tidak benarkan. Jika di rumah Liana, abangnya juga sering bersama kekasihnya. Semua yang ingin saya lakukan terbatas kerana abangnya sentiasa ada.

Biasanya kami berkumpul jika ayah dan ibu Liana tidak ada di rumah atau keluar ‘bekerja’. Ayah dan ibu Liana adalah jurujual.

Di rumah saya, ‘line tak clear’. Ibu suri rumah dan jarang keluar. Sebab itu saya suka habiskan masa di rumah Liana jika ada masa terluang dengan alasan hendak belajar bersama.

Ibu tidak pernah persoalkan dan tanya apa saya buat. Dia hanya tahu saya pergi belajar atau sekadar lepak dengan kawan sekolah.

Saya seronok dan suka dengan sikap terbuka mereka (ayah dan ibu), saya tidak rasa terkongkong.

Daripada habiskan masa sia-sia duduk di rumah, baik saya keluar dengan kawan. Yang penting ayah, ibu, abang dan kakak tidak melarang.

Saya tidak pernah bosan dengan rakan, lagi pula duduk di kawasan apartmen memang banyak kenalan.

Apa yang saya lakukan di luar, bak kata orang pandai makan, pandailah simpan.”

sumber*

Artikel berkaitan..

Jujur dapat bentuk manusia saling percaya, berkasih sayang.

SETIAP individu Muslim sangat dituntut agar memperhiaskan hati dengan sifat jujur atau benar dalam semua perkara. Kejujuran adalah sifat terpuji nabi dan akan membawa ke arah kebaikan serta keselamatan hidup di dunia dan akhirat yang kekal abadi.



Mengenai perkara ini Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Sesungguhnya sifat benar (jujur) itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan ini membawa ke syurga dan seseorang itu akan terus bersifat benar sehinggalah beliau ditulis di sisi Allah sebagai orang yang bersifat benar...” (HR Bukhari dan Muslim).

Memandangkan sifat ini sangat penting dan ada hubung kait dengan keimanan, maka tidak wajar sama sekali seorang Muslim mengabaikannya begitu saja atau menganggap sebagai remeh. Sesungguhnya memiliki sifat jujur adalah satu kewajipan setiap orang yang beriman.

Hal ini dapat difahami daripada firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 119 yang mafhumnya:

“Hai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang yang benar.”

Pada masa kini, ternyata amat sukar mencari orang yang jujur dan dipercayai dalam masyarakat. Ramai yang lalai dan terpengaruh dengan bisikan syaitan, hawa nafsu dan tidak dinafikan ada juga disebabkan kejahilan.

Sehingga ada yang tergamak untuk terbabit dengan rasuah, menghalalkan cara, pecah amanah, menabur fitnah dan berdusta demi mencapai hasrat kepentingan peribadi. Keadaan buruk ini sangat membimbangkan dan pasti menjadi lebih parah sekiranya tidak ada usaha memberi penyuluhan dan kesedaran kepada mereka dengan pelbagai saluran.

Kita sangat percaya masih ramai yang keliru bahkan tidak tahu mengenai maksud jujur yang sebenar-benarnya mengikut pandangan Islam.

Ulama mendefinisikan jujur itu sebagai kesesuaian perkataan dan perbuatan yang dizahirkan mengikut gerak batinnya selama tidak tergelincir daripada landasan syariat.

Orang yang jujur akan sentiasa memastikan setiap tindakan, percakapan, kelakuan dan sebagainya menepati ajaran Islam.

Orang yang jujur sangat benci kepada segala jenis perbuatan ingkar yang mengundang dosa dan kemurkaan Allah.

Kalaupun terlanjur melakukan maksiat, akan segera bertaubat kepada-Nya dengan penyesalan serta dengan rasa takut akan azab Allah. Dia selalu sedar bahawa dirinya sedang diperhatikan oleh Allah SWT.

Lantaran itu, orang yang jujur tidak mungkin mengerjakan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam walau saat keseorangan dan tersembunyi.

Imam Al-Ghazali menyenaraikan jenis kejujuran yang perlu diamalkan oleh setiap orang Islam yang benar-benar merindui keredaanNya iaitu:

Jujur lisan atau perkataan sebagai contoh menepati janji dan sumpah, menjauhi sifat bohong dan menipu;

Jujur niat dan kehendak iaitu tercetus keinginan untuk beramal penuh ikhlas semata-mata kerana Allah SWT;

Jujur keazaman dalam melaksanakan sesuatu kerana Allah (yang mana lahirnya semangat untuk melakukan amalan, semangat itu juga lahir kerana Allah);

Jujur dalam melaksanakan apa yang diazamkan (melakukannya dengan istiqamah dan tidak takut sebarang celaan yang datang, kerana dia melakukannya kerana Allah);

Jujur dalam beramal itu sendiri, di mana tidak melakukan amalan zahir yang bercanggah dengan apa yang ada dalam batin (tidak berpura-pura atau hipokrit), dan

Jujur dalam setiap maqam agama seperti khauf, zuhud, reda, tawakal dan lain-lain.

Semuanya itu terangkum dalam firman Allah yang bermaksud:

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar” (QS Al-Bayyinah: 5).

Orang yang jujur dan benar, sudah tentu akan mendapat keredaan Allah manakala di sisi masyarakat mendapat sanjungan dan dihormati, dapat membentuk manusia yang saling percaya mempercayai dan berkasih sayang.

Jika saat menghadapi kesulitan, sangat mudah baginya untuk mendapatkan pertolongan. Ini semua akan membuahkan ketenangan yang mendalam di jiwa.

Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

“Tinggalkanlah hal yang membimbangkan kalian menuju sesuatu yang tidak membimbangkan, sesungguhnya kejujuran adalah ketenangan, dan pembohongan adalah kebimbangan” (HR Tarmizi)
Oleh Mohd Adid Ab Rahman
Berita Harian (18/06/2010)

nota;

Kepercayaan yang dikianati oleh anak sendiri wajar dijadikan iktibar oleh ibubapa di zaman ini,Jangan terlalu mempercayai anak sendiri terutama jika mereka bergaul berlainan jantina dan juga sekiranya tiada pendinding diri yang ampuh iaitu amanah,jujur dan ikhlas dalam diri mereka.

Iman mereka di usia remaja amat rapuh dan sekiranya ibubapa hanya menyediakan segala keperluan lahiriah sahaja tanpa bekalan rohani amat mudah para remaja kini terjebak dan terlanjur.Zaman ini cabaran buat remaja kini amat mencabar dan sekiranya ibubapa tidak membimbing dan memberikan pendidikan agama yang kukuh nescaya mereka akan mudah terjerumus dan terumbang ambing tanpa haluan.

Galakkan mereka sekiranya selalu melayari internet kepada yang menjurus kepada ke arah yang keislaman dan motivasi diri.Setiasa memberikan galakan dan nasihat serta pelukan kasih sayang dimana akan lebih mengukuhkan rasa hormat,malu dan rasa amanah yang tinggi dalam diri mereka.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...