"Semoga setiap amal ibadah yang kita laksanakan mendapat barakah daripada
Allah SWT.
Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Umur yang panjang
tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Ilmu yang banyak tidak membawa
erti tanpa ada keberkatan. Ibadah yang memenatkan tidak membawa erti
tanpa ada keberkatan. Kediaman yang besar tidak membawa erti tanpa ada
keberkatan. Manusia yang memiliki apa yang dia mahu tidak membawa erti
tanpa ada keberkatan.
Apa itu berkat?
Berkat diambil daripada perkataan Arab iaitu Barakah. Dan pekerjaan
'mengambil berkat' pula dikenali sebagai Tabarruk. Tetapi ianya bukan
berkat sebagaimana yang difahami oleh masyarakat Jawa iaitu nasi kenduri
yang dibawa pulang sebagai bekalan.
Berkat bermaksud bahagia, beruntung, bertambah dan berkembang. Ar-Raghib
al-Asfahani mendefinasikannya sebagai "al-Barakah: Thubutul Khairi
al-Ilahi Fis Syai'". Ertinya: Keberkatan itu ialah wujudnya kebaikan
yang dilimpahkan oleh Allah di dalam sesuatu.