Agong seru ambil panduan Quran Hadis
Ismail Hashim
KUALA LUMPUR, 17 Julai: Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong menyeru umat Islam kembali mengambil Al-Quran dan Al-Hadis sebagai sumber penyelesai masalah yang timbul dalam masyarakat.
Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah jika ada perselisihan pendapat dan sukar untuk mencari keputusan, Allah menggariskan agar al-Quran dan al-Sunnah dijadikan tempat rujukan seperti Firman-Nya di dalam Surah An-Nisa.
Baginda menyarankan demikian ketika menyampaikan titah perasmian Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa ke-53 yang bermula malam tadi hingga 23 Julai.
Majlis berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah.
Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong Tuanku, Nur Zahirah turut berangkat.
Majlis itu disiarkan secara langsung melalui radio dan televisyen ke seluruh negara.
"Beta percaya keamanan negara berkait rapat dengan perpaduan ummah, perkara ini ditunjukkan dengan kehancuran empayar-empayar hebat pada masa lampau akibat perlakuan rakyatnya yang tidak bersatu padu malah mengenepikan persefahaman dalam menjaga kemakmuran negara.
"Sesungguhnya Islam melarang umatnya membiarkan perselisihan pendapat, pandangan atau apa-apa keadaan yang akhirnya melemahkan negara.
"Inilah yang ingin beta tekankan supaya kita kembali kepada ajaran Islam sebenar namun harus kita fahami ini bukanlah bermakna Islam menolak perbezaan pendapat kerana Islam mengharuskan kepelbagaian pendapat tentang sesuatu perkara untuk menghasilkan kebaikan," titah baginda.
Pada tahun ini, seramai 81 peserta terdiri daripada 50 qari dan 31 qariah dari 50 negara bakal memperdengarkan bacaan mereka dalam seminggu ini.
Malaysia diwakili oleh qari Amirrahman Abas dan qariah Suraya Abu Hassan yang muncul johan pada majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-54 di Kuching, Sarawak.
Dalam titah itu, baginda juga mengingatkan umat Islam agar menggunakan pendekatan bijaksana dengan mengutamakan rundingan sesama mereka.
"Islam mengajar kita bahawa setiap perselisihan pasti ada penyelesaian manakala penyelesaian yang dicapai hasil daripada pendekatan dengan cara berhemah mengikut cara Rasulullah adalah yang lebih mulia dan terpuji di sisi Allah," tegas baginda lagi.
Tuanku Mizan bertitah untuk itu, umat Islam perlu menghayati perihal Rasulullah SAW yang telah menunjukkan kaedah dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat dan negara.
"Hendaklah mengukuhkan persefahaman dan perpaduan warganegara Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan.
“Rasulullah SAW dalam Piagam Madinah mewajibkan semua penduduk Madinah agar menyayangi dan menghormati bumi Madinah," titah baginda.
Harakahdaily.net
----------------------------------------------------------
Al-Quran adalah kitab suci umat islam,Al-quran ialah wahyu yang diturunkan oleh Allah Kepada Baginda Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan Malaikat Jibril.
yang sampai ke zaman sekarang secara mutawatir.Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.
Allah Berfirman : "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Adz-Dzikr (Al-Qur’an), dan Kamilah yang akan menjaganya". (AL Hijr 15:9)
Terdapat Juga nama-nama di dalam Al-Quran iaitu :-
a) Al-Kitaab (اﻟﻛتاب)bermaksud sebuah kitab.
b) Al-Furqaan (ﺍﻟﻔﺮﻗﺎﻥ) bermaksud pemisah hak dan batil.
c) Adz-Dzikir (اﻟذﻛﺮ) bermaksud peringatan.
d) At-Tanzil (ﺍﻟﺘﻨﺰﻳﻞ) bermaksud penurunan.
Sifat-Sifat Al-Quran
1. An-Nuur bermaksud cahaya yang menerangi kegelapan. Al-Quran disifatkan sebagai nur (cahaya) kerana ia memberikan cahaya keimanan kepada orang yang berada di dalam kegelapan serta kekufuran. Selain itu, al-Quran juga menjadi cahaya yang menerangi jiwa orang yang selalu membacanya dan menghayati isi kandungannya.
2. Al-Mubiin bermaksud menerangkan sesuatu. Al-Quran disifatkan sebagai penerang kerana ia menghuraikan ajaran Islam kepada seluruh umat.
3.Al-Huda bermaksud petunjuk. Al-Quran disifatkan sebagai petunjuk kerana ia menunjukkan jalan yang lurus kepada umat manusia.
4.Ar-Rahmah bermaksud kerahmatan. Allah menyifatkan al-Quran sebagai rahmat kerana ia membawa rahmat kepada orang Mukmin yang sentiasa membaca, mempelajari dan mengamalkan isi kandungannya.
Al-Quran Juga mempunyai 114 Surah bermula surah Al-Fatihah hingga surah yang terakhir Surah An-Nas.
Al-Quran merupakan wahyu yang di turunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Al-Quran juga merupakan sumber rujukan utama seluruh umat manusia.Tidak mengira kabilah,bangsa,warna kulit mahupun keturunan.Maka tetap Al-Quran sumber rujukan utama kehidupan.Dalam kekalutan manusia hidup tanpa panduan, al-Quran datang dan mengajar manusia cara menguruskan kehidupan, soal ekonomi, cara berpolitik, pembinaan rumah tangga, melayan tetamu, hak anak terhadap ibu bapa, hak ibu bapa terhadap anak, hak pemimpin terhadap rakyat dan rakyat terhadap pemimpin. Al-Quran juga mengajar hidup bermasyarakat sesama Muslim dan kaedah berinteraksi dengan mereka yang bukan Islam. Malah, segalanya dimodulkan dalam al-Quran, ada secara terperinci dan umum yang diperjelaskan oleh hadis.Inilah sebagai bukti bahawa kehebatan Al-Quran tiada bandingannya.
Generasi Al-Quran yang budiman,
Al-Quran telah lengkap dalam memjawab segala persoalan berkaitan perihal kehidupan manusia.Kandungan utama al-Quran pertamanya telah pun memberikan jawapan muktamad mengenai tauhid. Kedua, panduan hidup dalam bentuk sistem muamalat dan undang-undang, ketiga mengenai perkara ghaib, seterusnya soal hari kebangkitan, balasan akibat daripada perbuatan dosa dan pahala, induk segala ilmu dan alat pembersih jiwa. Sekiranya kita menyingkap sejarah, berkesannya ayat al-Quran meresap ke dalam jiwa para sahabat ialah peristiwa pengharaman arak. Ketika turun ayat 90 surah al-Maidah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman,sesungguhnya minum arak, berjudi, berkorban untuk berhala serta menilik nasib adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan, jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan.” Menurut Anas bin Malik: “Ketika mengedarkan arak di rumah Abu Talhah, tiba-tiba kami terdengar suara seorang lelaki di halaman rumah lalu kami keluar untuk melihatnya.”Lelaki itu berkata: “Wahai kawan-kawan, mulai hari ini arak diharamkan.” Abu Talhah berkata: “Wahai kawan-kawan cepat keluar, tumpahkan arak.” Mereka semua mencampakkan arak, ada yang sedang meletakkan arak dibibirnya untuk minum bila terdengar ayat itu, itulah kali terakhir menyentuh arak.
Jiwa-jiwa yang rindukan Syurga Allah,
Al-Quran jaminan kejayaan umat gemilang.Al-Quran sepatutnya mendapat layanan istimewa daripada umat Islam. Layanan itu bukan hanya cara mengambil meletak dan membacanya tetapi yang lebih utama isi serta penghayatan suruhan dan menjauhi larangannya. Menurut Ibnu Qayyim, suasana inilah yang melonjakkan umat terdahulu ke tahap tertinggi indeks kecemerlangan. Kecemerlangan yang dicapai bukannya dalam satu bidang tertentu saja malah dalam segala bidang. Membaca al-Quran bukan hanya untuk panduan hukum agama malah menjadikannya buku panduan hidup. Ia bukan saja untuk kesempurnaan fardu ain tetapi juga fardu kifayah. Cuba lihat apabila mereka membaca ayat al-Quran mengenai aurat, mereka bukan berlumba-lumba membeli kain di pasar untuk menutup aurat tetapi mereka berfikir lebih jauh daripada itu. Mereka berfikir bagaimana hendak mencipta pakaian, membina kilang pakaian, malah merancang untuk menguasai pasaran pakaian dan fesyen. Begitu juga apabila mereka membaca ayat mengenai kebersihan, mereka bukan saja hendak membersihkan najis tetapi juga mencari idea bagaimana hendak mencipta teknologi alat kebersihan, kilang, malah import eksport barang berkenaan.Di sebalik kepintaran itu, mereka adalah generasi yang mempunyai akhlak yang tinggi.
Celik minda si pencinta ilmu,
Begitulah al- Quran memberi inspirasi berfikir dan berzikir. Sewajarnya kita mendekati al-Quran untuk turut mempertajamkan minda dan memperkuatkan peribadi.Caranya dengan membaca al-Quran, banyak mendengar al-Quran, memahami al-Quran, menjadikannya ubat mujarab menyelesaikan masalah sosial dan akhirnya dijadikan sumber hukum. Islam telah menggariskan beberapa indeks bagi meningkatkan kualiti ummah. Salah satu aspek yang terpenting ialah menyuburkan iman penganutnya.Lantaran itu, tugas kita ialah melestarikan iman agar mampu memandu ummah ke arah kegemilangan. Iman mempunyai kaitan yang erat dengan kualiti insan dan ummah. Iman adalah asas kepada keagungan ummah keseluruhannya. Jesteru,kita mestilah berupaya melaksanakan titah perintah Allah dan menjauhi laranganNya serta menghindari diri dari belenggu kejahilan. Iman yang mendalam akan melahirkan sifat taqwa yang dapat memandu diri, masyarakat dan ummah menjalani kehidupan ini dengan jalan yang lurus serta mampu menyelamatkan ummah daripada terdedah kepada segala macam bahaya dan kesusahan.Kesemua ini telah pun Allah jelaskan di dalam Al-Quran Sebagaimana firman Allah SWT.Maksudnya “Dan ingatlah, sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusan.” Surah at Talaq ; 4.
Kongklusinya,sejajar dengan itu,kita disarankan mempertingkatkan kualiti iman, agar lahir dalam dirinya kekuatan dan keberanian, yang akan menjadi motivasi untuk memaju dan memperkasakan ummah.Jesteru,dekatilah Al-Quran lantas ia mampu meningkatkan keimanan kita kepada Tuhan serta menjamin kejayaan umat gemilang.
Sumber*
Ilmu dan Amal
“Hai Rasul, sampaikanlah apa yang di turunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya.
Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir”. QS.Al-Maaidah [5] : 67
Sabda Baginda Rasulullah SAW, "Sampaikanlah dariku, walaupun hanya satu ayat."
Petikan Minda :
Miskin harta tidak mengapa,
tapi jangan miskin idea dan jiwa.
Miskin idea buntu di dalam kehidupan.Miskin jiwa mudah kecewa dan derita
akhirnya putus asa yang sangat berdosa.
No comments:
Post a Comment