Ilmu dan Amal

“Hai Rasul, sampaikanlah apa yang di turunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika  tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak  menyampaikan amanat-Nya. 
Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia.  Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir”.  QS.Al-Maaidah [5] : 67
Sabda Baginda Rasulullah SAW, "Sampaikanlah dariku,  walaupun hanya satu ayat."
Petikan Minda :
Miskin harta tidak mengapa,
tapi jangan miskin idea dan jiwa.
Miskin idea buntu di dalam kehidupan.

Miskin jiwa mudah kecewa dan derita

akhirnya putus asa yang sangat berdosa.

ASSALLAMUALAIKUM W.B.T

Saturday, June 1, 2013

Mengapa penghuni neraka ramai wanita?

Gambar hiasan sahaja.

Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya :

“Hai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api Neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At Tahrim ayat 6)

Imam At-Tobari (rahimahu ‘Llah) menyatakan di dalam tafsirnya : “Ajarkanlah kepada keluargamu amalan ketaatan yang dapat menjaga diri mereka dari Neraka.”

Ibnu Abbas r.a juga mentafsirkan ayat ini : “Beramallah kamu dengan ketaatan kepada Allah, takutlah kamu untuk bermaksiat kepadaNya dan perintahkan keluarga kamu untuk berzikir, nescaya Allah menyelamatkan kamu dari Neraka.”

Masih banyak tafsir para sahabat dan ulama lainnya yang menganjurkan kita untuk menjaga diri dan keluarga dari Neraka dengan mengerjakan amalan soleh dan menjauhi maksiat kepada Allah s.w.t.

Di dalam surah lainnya Allah s.w.t. berfirmanyang bermaksud :

“Peliharalah dirimu dari Neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu yang disediakan bagi orang-orang kafir.” (Surah Al Baqarah ayat 24)

Sahabat yang dimuliakan, Begitu pula dengan ayat-ayat lainnya yang juga menjelaskan keadaan Neraka dan perintah untuk menjaga diri daripadanya.

Kedahsyatan dan kengerian Neraka juga dinyatakan Rasulullah s.a.w di dalam hadis yang sahih dari Abu Hurairah r.a bahawasanya baginda bersabdayang bermaksud :

“Api kamu yang dinyalakan oleh anak cucu Adam ini hanyalah satu bahagian dari 70 bahagian Neraka Jahanam.”

Jikalau api dunia saja dapat menghanguskan tubuh kita, bagaimana dengan api Neraka yang panasnya 70 kali ganda dibandingkan dengan panas api dunia? Semoga Allah S.W.T. menyelamatkan kita dari api Neraka.

WANITA PENGHUNI NERAKA

Mengenai hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan kepada kita apa yang disaksikan oleh Rasulullah s.a.w tentang penghuni Syurga yang majoritinya adalah fuqara (para fakir miskin) dan Neraka yang majoriti penghuninya adalah wanita. Tetapi hadis ini tidak menjelaskan sebab-sebab yang menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam Neraka dan menjadi majoriti penghuninya, namun demikian sebab-sebab tersebut disebutkan dalam hadis lainnya.

Di dalam kisah solat gerhana matahari, Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang panjang , Rasulullah s.a.w melihat Syurga dan Neraka. Ketika beginda melihat Neraka beginda bersabda kepada para sahabatnya:

“ … dan aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda s.a.w menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w menjelaskan tentang wanita penghuni Neraka, baginda bersabda :

“ … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta. Mereka tidak masuk Syurga dan tidak mendapatkan wanginya Syurga padahal wanginya boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

Dari Imran bin Husain dia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya penduduk Syurga yang paling sedikit adalah wanita.”

(Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

Imam Qurthubi (rahimahu ‘Llah) menjelaskan maksud hadis di atas dengan pernyataannya :

“Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk Syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka, kecondongan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka untuk tertipu dengan kesenangan-kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal. Kemudian mereka juga sebab yang paling kuat untuk memalingkan kaum lelaki dari akhirat disebabkan adanya hawa nafsu dalam diri mereka, kebanyakan dari mereka memalingkan diri-diri mereka dan selain mereka dari akhirat, cepat tertipu jika diajak kepada penyelewengan terhadap agama dan sulit menerima jika diajak kepada akhirat.”

(Jahannam Ahwaluha wa Ahluha halaman 29-30 dan At Tazkirah halaman 369)

Jika kita perhatikan keterangan dan hadith di atas dengan insaf, nescaya kita akan dapati beberapa sebab yang menjerumuskan kaum wanita ke dalam Neraka bahkan menjadi majoriti penghuniya dan yang menyebabkan mereka menjadi golongan minoriti dari penghuni Syurga.

1. Kufur Terhadap Suami dan Kebaikan-Kebaikannya :

Rasulullah s.a.w menjelaskan hal ini pada sabda baginda di atas tadi. Kekufuran seumpama ini terlalu banyak kita dapati di tengah-tengah keluarga kaum muslimin, iaitu seorang isteri yang mengingkari kebaikan-kebaikan suaminya selama sekian waktu yang panjang hanya dengan sikap suami yang tidak sesuai dengan kehendak isteri sebagaimana kata pepatah,’panas setahun dihapus oleh hujan sehari’. Padahal yang harus dilakukan oleh seorang isteri ialah bersyukur terhadap apa yang diberikan suaminya, janganlah ia mengkufuri kebaikan-kebaikan suami kerana Allah s.w.t. tidak akan melihat isteri seumpama ini sebagaimana dijelaskan Rasulullah s.a.w :

“Allah tidak akan melihat kepada wanita yang tidak mensyukuri apa yang ada pada suaminya dan tidak merasa cukup dengannya.”

(Hadis Riwayat Nasaie)

Hadis di atas adalah peringatan keras bagi kaum wanita muslimah yang menginginkan keredhaan Allah s.w.t. dan SyurgaNya. Maka tidak layaklah bagi wanita yang mengharapkan akhirat untuk mengkufuri kebaikan-kebaikan suaminya dan nikmat-nikmat yang diberikannya atau meminta dan banyak mengadukan hal-hal kekurangan yang tidak sepatutnya untuk diperbesar-besarkan.

Jika sedemikian keadaannya, maka sangat tidak sesuai sekali jika wanita yang kufur terhadap suaminya serta kebaikan-kebaikannya dikatakan Rasulullah s.a.w sebagai majoriti kaum yang masuk ke dalam Neraka walaupun mereka tidak kekal didalamnya.

Cukup sekiranya isteri-isteri Rasulullah s.a.w dan para sohabiyah sebagai suri tauladan bagi isteri-isteri kaum muslimin dalam mensyukuri kebaikan-kebaikan yang diberikan suaminya kepadanya.

2. Durhaka Terhadap Suami

Kedurhakaan yang dilakukan seorang isteri terhadap suaminya pada umumnya berupa tiga bentuk kedurhakaan yang sering kita jumpai pada kehidupan masyarakat kaum Muslimin. Tiga bentuk kedurhakaan itu adalah :

1. Derhaka dengan ucapan.

2. Derhaka dengan perbuatan.

3. Derhaka dengan ucapan dan perbuatan.

Bentuk pertama ialah seorang isteri yang biasanya berucap dan bersikap baik kepada suaminya serta segera memenuhi panggilannya, tiba-tiba berubah sikap dengan berbicara kasar dan tidak segera memenuhi panggilan suaminya. Atau ia memenuhinya tetapi dengan wajah yang menunjukkan rasa tidak senang atau lambat mendatangi suaminya. Kederhakaan seperti ini sering dilakukan seorang isteri ketika ia lupa atau memang sengaja melupakan ancaman-ancaman Allah terhadap sikap ini.

Termasuk bentuk kederhakaan ini ialah apabila seorang isteri membicarakan perbuatan suami yang tidak ia sukai kepada teman-teman atau keluarganya tanpa sebab yang dibenarkan oleh syara’. Atau ia menuduh suaminya dengan tuduhan-tuduhan yang bermaksud untuk menjatuh dan merosak kehormatannya sehingga suaminya dipandang hina di mata orang lain. Begitu juga apabila seorang isteri meminta talak atau di khulu’ (dicerai) tanpa sebab syar’i. Atau ia mendakwa telah dianiaya atau dizalimi suaminya atau lain-lainnya.

Permintaan cerai biasanya di awali dengan pertengkaran antara suami dan isteri kerana ketidakpuasan isteri terhadap kebaikan dan usaha suami. Atau yang lebih menyedihkan lagi bila hal itu dilakukannya kerana suaminya berusaha mengamalkan syari’at-syari’at Allah s.w.t. dan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. Sungguh hina sekali apa yang dilakukan isteri seperti ini terhadap suaminya.

Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w :

“Wanita mana saja yang meminta cerai pada suaminya tanpa sebab (yang syar’ie) maka haram baginya mencium wangi Syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi )

Bentuk kederhakaan kedua yang dilakukan para isteri terjadi apabila seorang isteri tidak mahu melayani keperluan batiniyah suaminya atau bermuka masam ketika melayaninya atau menghindari suami ketika hendak disentuh dan dicium atau menutup pintu ketika suami hendak mendatanginya dan yang seumpamanya.

Termasuk dari bentuk ini ialah apabila seorang isteri keluar rumah tanpa izin suaminya walaupun hanya untuk mengunjungi kedua orang tuanya. Tindakan ini sebenarnya adalah seakan-akan seorang isteri lari dari rumah suaminya tanpa sebab syar’ie. Demikian pula jika isteri enggan untuk bersafar (melakukan perjalanan) bersama suaminya, mengkhianati suami dan hartanya, membuka dan menampakkan apa yang seharusnya ditutupi dari anggota tubuhnya (aurat), menerima tetamu tanpa izin suaminya, berjalan di tempat umum dan pasar-pasar tanpa mahram, bersenda gurau atau berbicara lemah-lembut penuh mesra kepada lelaki yang bukan mahramnya dan yang lain-lain.

Begiti juga apabila seorang isteri tidak mau berdandan atau mempercantikkan diri untuk suaminya padahal suaminya menginginkan hal-hal itu, melakukan puasa sunat tanpa izin suaminya, meninggalkan hak-hak Allah seperti solat atau puasa Ramadhan.

Maka setiap isteri yang melakukan perbuatan-perbuatan seperti tersebut adalah isteri yang durhaka terhadap suami dan telah melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. Jika kedua bentuk kederhakaan ini dilakukan sekaligus oleh seorang isteri maka ia dikatakan sebagai isteri yang derhaka dengan ucapan dan perbuatannya.

Sungguh rugi wanita yang melakukan kederhakaan ini. Mereka lebih memilih jalan ke Neraka daripada jalan ke Syurga kerana memang biasanya wanita yang melakukan kederhakaan-kederhakaan ini tergoda oleh angan-angan dan kesenangan dunia yang menipu.

Jalan menuju Syurga tidaklah dihiasi dengan bunga-bunga yang indah, melainkan dipenuhi dengan rintangan-rintangan yang berat untuk dilalui oleh manusia kecuali orang-orang yang diberi ketegaran iman oleh Allah. Tetapi ingatlah di hujung jalan ini ada Syurga yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya yang sabar menempuhnya.

Ketahuilah pula bahawa jalan menuju ke Neraka memang indah, penuh dengan syahwat dan kesenangan dunia yang setiap manusia tertarik untuk menjalaninya. Tetapi ingat dan sedarlah bahawa Neraka menanti orang-orang yang menjalani jalan ini dan tidak mahu berpaling darinya semasa ia hidup di dunia.

Hanya wanita yang bijaksanalah yang mahu bertaubat kepada Allah s.w.t. dan meminta maaf kepada suaminya dari kederhakaan-kederhakaan yang pernah ia lakukan. Ia akan kembali berusaha mencintai suaminya dan sabar dalam mentaati perintahnya.

3. Tabarruj

Yang dimaksud dengan tabarruj ialah seorang wanita yang menampakkan perhiasannya dan keindahan tubuhnya serta apa-apa yang wajib ditutupnya dari pandangan lelaki bukan mahramnya.

Hal ini kita dapati pada sabda Rasulullah s.a.w tentang wanita-wanita yang berpakaian tapi hakikatnya telanjang disebabkan pakaian yang mereka pakai tipisnya, berseluar ketat menampakkan bahagian-bahagian tubuh tertentu, tidak menutup aurat sepertimana yang berlaku di dalam masyarakat kita. Sebagaimana yang dihuraikan oleh Ibnul ‘Abdil Barr rahimahu ‘Llah ketika menjelaskan sabda Rasulullah s.a.w tersebut. Ibnul ‘Abdil Barr menyatakan :

“Wanita-wanita yang dimaksudkan Rasulullah s.a.w adalah yang memakai pakaian yang tipis yang menampakkan tubuhnya atapun yang menunjukkan bentuk tubuhnya dan tidak menutupinya, maka mereka adalah wanita-wanita yang berpakaian pada zahirnya dan telanjang pada hakikatnya … .”

Mereka adalah wanita-wanita yang suka dan amat gembira apabila berjaya menampakkan perhiasan mereka, padahal Allah s.w.t. telah melarang hal ini dalam firmanNya yang bermkasud :

“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan-perhiasan mereka.” (Surah An Nur ayat 310)

Imam Az-Zahabi rahimahu ‘Llah menyatakan di dalam kitab Al Kabair :

“Termasuk dari perbuatan-perbuatan yang menyebabkan mereka dilaknat ialah menampakkan hiasan emas dan permata yang dipakai oleh mereka, memakai minyak wangi dengan yang seumpanya jika mereka keluar rumah … .”

Dengan perbuatan seperti ini bererti mereka secara tidak langsung menyeret kaum lelaki ke dalam Neraka, kerana pada diri kaum wanita terdapat daya tarik syahwat yang sangat kuat yang dapat menggoncang keimanan yang kukuh sekalipun, apa lagi iman yang lemah yang tidak dikuatkan dengan ilmu Al Qur’an dan As Sunnah. Rasulullah sendiri menyatakan di dalam hadis yang sahih bahwa :

“ Fitnah yang paling besar yang paling ditakutkan atas kaum lelaki adalah fitnahnya wanita.”

Sahabat yang dirahmati Allah,

Sejarah sudah membuktikan bahawa betapa banyak tokoh-tokoh dunia yang tidak beriman kepada Allah s.w.t. hancur hanya disebabkan pujuk-rayu wanita. Bahkan berapa banyak persaudaraan di antara kaum muslimin terputus hanya disebabkan wanita. Berapa banyak anak yang menderhaka kepada ibunya demi mencari cinta seorang wanita, dan masih banyak lagi gejala-gejala lainnya yang dapat membuktikan bahawa wanita seumpama mereka ini memang layak untuk tidak mendapatkan wanginya Syurga.

Hanya dengan ucapan dan rayuan seorang wanita mampu menjerumuskan kaum lelaki ke dalam lembah dosa yang hina, terlebih lagi jika mereka bersolek dan menampakkan tubuh mereka kepada kaum lelaki. Tidak menghairankan lagi jika di sana-sini terjadi jenayah dan kezaliman terhadap kaum wanita, kerana yang demikian adalah hasil perbuatan mereka sendiri.

Hindarilah tabarruj dan berhiaslah dengan pakaian yang disaran oleh Islam yang akan menyelamatkan kaum wanita dari dosa di dunia ini dan azab di akhirat kelak. Jangan diikut pemikiran sekular pemimpin-pemimpin wanita Islam yang cuba mempertikaikan hukum-hukum Allah dan mempertikaikan hak-hak wanita yang telah dinyatakan di dalam al-Qur’an.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :

“Dan tinggallah kamu di rumah-rumah kamu dan janganlah kamu bertabarruj dengan tabarrujnya orang-orang jahiliyyah pertama dahulu.” (Surah Al Ahzab ayat 33)

Masih banyak sebab-sebab lainnya yang menyebabkan wanita menjadi penghuni majoriti Neraka. Tetapi cukuplah dengan tiga sebab ini sahaja yang dijelaskan di sini kerana memang tiga perkara inilah yang sering kita dapati di dalam kehidupan masyarakat kita.

Rasulullah s.a.w pernah menerangkan satu amalan yang dapat menyelamatkan kaum wanita dari azab Neraka. Ketika beginda selesai berkhutbah hari raya yang berisikan perintah untuk bertakwa kepada Allah s.w.t. dan anjuran untuk mentaatiNya. Baginda pun bangkit mendatangi kaum wanita, baginda menasihati mereka dan mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian baginda bersabda :

“Bersedekahlah kamu semua. Kerana kebanyakan kamu adalah kayu api Jahanam!”

Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, iapun bertanya : “Mengapa demikian, wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab : “Kerana kamu banyak mengeluh dan kamu kufur terhadap suami!” (Hadis Riwayat Al- Bukhari)

Bersedekahlah kerana sedekah adalah satu jalan untuk menyelamatkan kaum wanita dari azab Neraka. Semoga Allah s.w.t. menyelamatkan kita dari azab-Nya. Aamiin.

Al maulaana



sumber : ramuantutorial.blogspot.com

Salah faham tentang ISLAM

2013-05-25_090839
Wartawan dan pengarang Swiss, Roger Du Pasquier pernah berkata, “Di Barat, sama ada Kristian atau agama lain, tidak pernah benar-benar mengenali Islam. Sejak mereka melihat ia muncul di pentas dunia, Kristian tidak pernah berhenti menghina dan memfitnah untuk mencari justifikasi untuk melancarkan perang ke atasnya.”
Kali ini saya ingin memuatkan 10 salah faham terbesar mengenai Islam dari kaca mata masyarakat dunia. Semoga memberi pendedahan kepada kita semua terhadap salah anggap yang berlaku dan dapat menjawab setiap persoalan yang dilemparkan kepada agama kita.

10. Muslim adalah Arab

Silap Faham : Semua orang Islam adalah orang Arab
Imej biasa seorang muslim dalam pemikiran Barat adalah seorang lelaki berserban gelap Arab dengan janggut yang panjang. Walau bagaimanapun, imej ini adalah sebahagian daripada minoriti umat Islam. Arab terdiri daripada hanya 15% daripada penduduk Islam di dunia.  Fakta menunjukkan bahawa penganut agama Islam di Timur Tengah adalah yang ketiga, dengan Asia Timur pada tangga pertama (69%) dan kawasa benua Afrika (27%) pada tangga ketiga. Satu lagi salah faham yang biasa ialah bahawa semua orang Arab beragama Islam. Yang sebenarnya, walaupun majoriti orang Arab Islam (75%), terdapat banyak agama-agama lain yang diamalkan oleh orang Arab termasuk Kristian dan Yahudi.

9. Muslims and Jesus

Silap Faham : Orang Muslim membenci Jesus
Sebenarnya banyak persamaan fakta sejarah diantara Kristian dan Islam. Sebenarnya ramai yang tak tahu bahawa orang Islam mengakui bahawa Jesus adalah salah seorang daripada utusan Tuhan (Allah), iaitu dikenali sebagai Nabi Isa. Seseorang muslim itu harus beriman dan percaya kepada kelahiran suci Maryam dan mukjizat-mukjizat yang terdapat pada Nabi Isa (Jesus). Nabi Isa (Jesus) turut disebut di dalam kitab suci Al-Quran di dalam pelbagai surah dan baginda (Nabi Isa / jesus) sering dirujuk contoh tauladan yang mulia dan terpuji. Walaubagaimanapun, perbezaan utama diantara kepercayaan penganut Kristian dan Islam, adalah Islam tidak meletakkan Jesus sebagai tuhan. Gambar diatas menggambarkan Islam mempercayai Nabi Isa sebagai penyelamat manusia di akhir zaman.

8. Hak Kanak-Kanak

 
Silap Faham : Kanak – kanak tidak mempunyai hak

Kanak-kanak, mengikut undang-undang Islam, mempunyai hak yang pelbagai. Salah satunya ialah hak dipelihara dan dibesarkan dengan baik dan diberi pendidikan. Islam menggalakkan kanak-kanak dibesarkan dengan baik kerana ia adalah tanggungjawab seorang dewasa untuk membesarkan anaknya untuk menjadi seorang dewasa yang bermoral dan beretika. Anak-anak juga perlu diberi layanan yang adil. Apabila memberi hadiah wang,  mereka semua harus mendapat jumlah yang sama dan tidak harus ada pilih kasih di kalangan mereka. Kanak-kanak  dibenarkan untuk mengambil sedikit daripada harta ibu bapa mereka untuk menampung perbelanjaan bagi diri, walaupun jika ibu bapa enggan memberikan mereka perbelanjaan yang sepatutnya untuk hidup. Seorang kanak-kanak juga tidak dibenarkan untuk dipukul di muka atau dirotan oleh apa-apa lebih besardaripada sebatang pensil.

 

7. Agama Yang Tiada Toleransi

Silap Faham : Islam tidak boleh bertolak ansur kepada agama-agama lain
‘Bunuh orang kafir’ adalah frasa yang ramai orang percaya bahawa ini adalah ideologi orang Islam terhadap orang bukan Islam. Ini adalah satu gambaran yang tidak betul undang-undang agama Islam. Islam sentiasa diberi penghormatan dan kebebasan beragama kepada semua agama.
Dalam Al-Quran mengatakan:
‘Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa’. (Surah al-Ma’idah : 8)
Terdapat banyak contoh sejarah toleransi Islam terhadap agama lain. Salah satu contoh adalah apabila Khalifah Umar menjadi  penguasa Jerusalem dari 634 hingga 644 Masihi. Dia memberikan kebebasan kepada semua lapisan masyarakat agama dan berkata bahawa penduduk bandar adalah selamat dan tempat ibadat mereka tidak akan diambil dari mereka. Beliau juga telah menubuhkan mahkamah yang telah ditetapkan kepada minoriti bukan Islam. Apabila beliau akan melawat kawasan suci (holy areas) beliau akan meminta ketua Kristian, bapa Sophronius (Christian patriarch Sophronius - gambar atas) untuk menemaninya.

6.  Jihad

Silap Faham : Jihad bermaksud membunuh demi tuhan
Makna sebenar bahasa Arab perkataan jihad adalah perjuangan. Terdapat banyak bentuk jihad tetapi yang paling penting adalah jihad al-nafs (jihad melawan nafsu diri), jihad bil-lisan (jihad dengan menjaga percakapan), yad bil jihad (jihad dengan menggunakan tindakan), dan Jihad bis Saif (jihad dengan menggunakan pedang). Setiap jihad berada pada kedudukan berbeza dan ia telah diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad pulang dari pertempuran dan berkata, ”Kita telah pulang dari jihad yang lebih kecil (yang pergi ke medan peperangan) kepada jihad yang lebih besar (perjuangan jiwa).
Ini bermakna bahawa Islam mementingkan berjuang menentang nafsu diri dan jiwa, lebih penting daripada jihad dalam  perang. Mati syahid tidak hanya mati di medan perang. Seseorang yang meninggal dunia semasa menunaikan haji di Mekah, seorang wanita yang meninggal dunia semasa melahirkan anak, atau seseorang yang mati dalam kemalangan kereta ketika beliau dalam perjalanan ke masjid, semuanya diberi kemuliaan syahid.
.

5. Perkahwinan Kanak-Kanak

Salah faham: Nabi Muhammad adalah pedophile ( bermaksud sumbang mahram / salah laku seks terhadap kanak-kanak)
Walaupun ia adalah benar bahawa baginda berkahwin dengan  Aisyah yang pada usia sembilan tahun, tetapi itu bukanlah sesuatu yang dipanggil  pedophilia. Sejarah pada waktu itu menunjukkan, dan juga didalam Islam,  umur di mana seorang perempuan telah dianggap bersedia untuk berkahwin adalah setelah mencapai akil baligh. Perkara ini juga adalah terdapat dalam Bible, dan masih digunakan hari ini untuk menentukan umur perkahwinan di banyak kawasan di dunia. Ini adalah sebahagian daripada norma manusia.
Aisyah (Isteri Nabi Muhamad)  berkahwin setelah baligh 3 tahun sebelum perkahwinan. Dia telah mencapai umur akil baligh. Dan lelaki atau perempuan, menurut di sisi undang-undang Islam, mereka bertanggungjawab atas segala tindakan mereka di bawah undang-undang Islam. Pada waktu ini, mereka dibenarkan untuk membuat keputusan sendiri dan bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.
Dalam Islam juga, adalah menyalahi undang-undang untuk memaksa seseorang untuk berkahwin dengan seseorang jika mereka tidak mahu berkahwin. Tidak ada sebarang petunjuk bahawa masyarakat pada zaman itu mengkritik atau mengecam gadis  yang berkahwin pada usia muda. Sebaliknya, perkahwinan telah digalakkan oleh keluarga gadis dan telah disambut oleh masyarakat umum.
.

4. Keganasan Tentera Muslim

Salah faham: tentera Islam adalah orang yang tidak bertamadun dan biadab semasa perang
Ini agak berlawanan kerana terdapat sepuluh peraturan perng yang setiap tentera Islam mesti patuhi:
1. Jangan melakukan pengkhianatan
2. Tidak menyimpang dari jalan yang lurus
3. Jangan merosakkan mayat
4. Jangan membunuh kanak-kanak
5. Jangan membunuh wanita
6. Jangan membunuh lelaki tua
7. Tidak memudaratkan atau membakar pokok
8. Jangan memusnahkan bangunan-bangunan
9. Tidak memusnahkan tanaman musuh, melainkan jika digunakan untuk makanan
10. Membiarkan orang yang menumpukan hidup mereka kepada perkhidmatan monastik
Semasa perang salib, apabila Salahuddin menewaskan tentera Frank, baginda memberi penghormatan kepada tentera Frank yang dikalahkan dan membekalkan mereka dengan makanan dan semasa perang salib ketiga apabila musuh Salahuddin, raja Richard jatuh sakit, Salahuddin menghantar kepada baginda hadiah buah-buahan dan kuda.

3. Hak Wanita

Salah faham: Wanita tidak mempunyai hak dalam Islam
Imej bagi seorang wanita memakai tudung dari kepala ke kaki, adalah seorang wanita yang mendapat tidak mendapat keadilan. Dan terdapat negara-negara Islam di dunia yang melaksanakan banyak hukuman yang keras terhadap wanita, ini tidak harus digambarkan sebagai undang-undang Islam. Kebanyakan negara-negara ini mempunyai perbezaan budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam. Perkara ini harus diperhatikan bahawa semasa zaman sebelum ketibaan Islam, wanita telah digunakan untuk memuaskan nafsu sahaja dan tidak mempunyai kebebasan. Kelahiran anak perempuan dalam keluarga dianggap penghinaan dan amalan pembunuhan bayi perempuan adalah tidak terkawal.
Apabila Islam datang, agama ini melarang keras amalan pembunuhan bayi perempuan. Islam telah memberikan kembali hak asasi manusia yang banyak kepada wanita. Seorang wanita Islam dibenarkan untuk menolak dan menerima apa-apa pinangan untuk berkahwin dan mempunyai hak untuk memohon perceraian.  Juga dalam segi pendidikan, seorang wanita yang bertanggungjawab dan diwajibkan untuk mencari ilmu demi kebaikan dirinya dan masyarakat.
Pada waktu ini, banyak wanita telah dieksploitasi dengan iklan produk  yang mendedahkan aurat. Manakah yang lebih melindungi wanita? Islam atau undang-undang ciptaan manusia? :)

2. Disebarkan Melalui Pedang

Salah faham : Islam telah tersebar dengan pedang
Sejarawan De Lacey O’Leary mengatakan “Sejarah menjelaskan  bahawa legenda tentera Islam fanatik yang menyerang dunia dan memaksa memeluk Islam dengan pedang terhadap bangsa yang ditawan adalah salah satu mitos yang paling hebat yang tidak masuk akal dalamsejarah dunia yang pernah terjadi. “
Tidak ada catatan dalam sejarah yang menunjukkan orang yang dipaksa oleh mata pedang untuk memeluk agama Islam. Apabila Islam tersebar melalui negara, mereka akan menubuhkan gereja persendirian dan rumah-rumah ibadat untuk orang bukan Islam yang tinggal dibawah pentadbiran mereka dan kerana akhlak yang baik yang mereka telah terima, mereka sendiri tertarik untuk menukar agama.  Orang yang melihat sejarah dan gemar berfikir akan menyedari bahawa satu kumpulan kecil orang tidak boleh memaksa orang lain untuk menjadi ahli-ahli agama mengikut kehendak mereka.
Dan yang paling menarik untuk direnungkan, adalah  apabila tentera Mongol menyerang dan menakluki sebahagian besar empayar Islam, dan tentera Mongol tersebut bukannya memusnahkan agama Islam, malah  mereka pula menerima pakai ajaran Islam dalam kehidupan mereka.

1. Islam Itu Pengganas

Salah faham: Islam adalah pengganas
Ini setakat ini, ini merupakan salah tanggapan terbesar Islam, memandangkan media memberikan  imej tidak adil oleh dan sikap stereotaip  awam (barat). Kenapa tentera Amerika atau Israel yang menembak orang awam yang dilabelkan sebagai ’ pembenci jenayah’, tetapi apabila seorang Muslim membuat tembakan balas untuk mempertahankan diri atau keluarga mereka, akan cepat dianggap sebagai ’keganasan’?
Pihak media juga telah menggambarkan Islam sebagai suatu kultus atau kumpulan dimana jika kita menyertai kita menjadi seorang pengganas dan yang kini merupakan sebahagian daripada agenda. Walau bagaimanapun, di seluruh dunia, Islam dalam bentuk sebenar adalah sebagai satu cara hidup. Terdapat banyak ayat di dalam al-Quran yang menentang idea keganasan. Antara ayat-ayat ini termasuk ”berperang di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu tetapi tidak melampaui batas-batas SyariatNya. Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”
 Tiada tempat dalam Islam, sama ada dalam al-Quran atau ajaran Muhammad, yang menggalakkan pembunuhan orang yang tidak berdosa.
sumber : http://infokinie.blogspot.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...