Ilmu dan Amal

“Hai Rasul, sampaikanlah apa yang di turunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika  tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak  menyampaikan amanat-Nya. 
Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia.  Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir”.  QS.Al-Maaidah [5] : 67
Sabda Baginda Rasulullah SAW, "Sampaikanlah dariku,  walaupun hanya satu ayat."
Petikan Minda :
Miskin harta tidak mengapa,
tapi jangan miskin idea dan jiwa.
Miskin idea buntu di dalam kehidupan.

Miskin jiwa mudah kecewa dan derita

akhirnya putus asa yang sangat berdosa.

ASSALLAMUALAIKUM W.B.T

Monday, March 18, 2013

Empat Soalan Bocor Alam Kubur


Ada kalanya, ketika musim peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan lain-lain, kedengaran bisik-bisik berkenaan soalan bocor. Pelbagai respon daripada para pelajar dan ibubapa. Ada yang begitu bersungguh mendapatkannya dan membuat persiapan sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Ada juga pelajar yang mendapat soalan-soalan tersebut, tetapi tidak mempedulikannya, bahkan ada yang langsung tidak berminat untuk mengambil tahu soalan-soalan tersebut. Ketika di dalam dewan peperiksaan, ada yang bergembira kerana telah bersiap sedia dengan jawapan dan ada yang menyesal kerana mengabaikan soalan-soalan bocor tersebut. Kolum hadis kali ini akan membicarakan berkenaan empat soalan di dalam kubur yang telah “dibocorkan” oleh Rasulullah s.a.w melalui ungkapan baginda yang bermaksud
“Tidak akan berganjak kedua-dua kaki setiap hamba (ke syurga atau neraka) pada hari akhirat nanti sehinggalah ditanya tentang umurnya, ke mana dihabiskan. Ditanya tentang ilmunya, apakah yang diamalkan. Ditanya tentang hartanya, bagaimana cara memperolehi dan membelanjakannya. Dan ditanya tentang kesihatan tubuh badannya, apa yang telah dilakukan dalam kehidupan.” ( Tarmizi ; no 2417)
Moga-moga kita mengambil perhatian dan mempersiapkan jawapan masing-masing dan berjaya lulus dengan cemerlang di akhirat nanti.

Soalan Bocor Yang Pertama
Kehidupan di dunia adalah tempoh ujian daripada Allah swt. Apabila tiba waktunya, kematian menjelma tanpa diperlewatkan atau dipercepatkan walaupun sesaat. Persoalan berkenaan usia yang dianugerahkan olehNya akan ditanya kepada setiap insan lantas masing-masing menjawab dengan jawapan yang berbeza, berdasarkan cara tersendiri tentang bagaimana memenuhi tempoh tersebut. Ada yang pendek usianya, tetapi menjadi sangat bernilai kerana diisi dengan penuh ubudiyyah ( penghambaan) kepada Allah swt. Ada pula yang panjang umurnya, tetapi menjadi sebab penyesalan yang tidak berkesudahan kerana ia dipenuhi dengan penghambaan kepada hawa nafsu semata-mata. Golongan yang paling bergembira adalah di kalangan yang panjang usianya dan dihiasi dengan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Yang Maha Esa. Moga kita mampu menjawab pada saat itu dengan jawapan yang tidak menghampakan.

Soalan Bocor Yang Kedua
Soalan kedua amat menggetarkan hati khususnya golongan yang berilmu. Apakah yang telah diamalkan daripada ilmu yang dimiliki ? Peringatan yang amat menggerunkan di dalam firman Allah:
“Amat besarlah kemurkaan Allah apabila kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu amalkan” ( surah Soff, ayat 3 )
Buah kepada ilmu dan tanda ia bermanfaat kepada seseorang ialah apabila diamalkan. Para orientalis mempunyai ilmu yang banyak tentang Islam, tetapi ia tidak akan menyelamatkan mereka di akhirat kerana ia tidak diamalkan. Begitu juga para ulama’ al-suu’ (ulama’ yang jahat) yang sentiasa menggunakan agama untuk mengejar dunia dengan memutarbelitkan hukum hakam agama demi mencari redha ‘tuhan-tuhan’ yang bukan Tuhan. Demikianlah iblis yang mempunyai ilmu paling hebat berkenaan syurga, kerana pernah menghuni dan merasai nikmat di dalamnya, tetapi tidak membawa kepada amal yang membuktikan ketaatan kepada Allah. Ada pula yang ingin mengambil jalan mudah dengan tidak berusaha menambah ilmu, agar tidak dibebankan dengan soalan ini, tetapi pada hakikatnya mendedahkan diri kepada bahaya yang lebih besar iaitu sesat dalam kegelapan jahiliah. Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami agar sentiasa berusaha menambahkan ilmu agama dan anugerahkan kami kemampuan untuk mengamalkannya dengan penuh ikhlas dan istiqamah.

Soalan Bocor Yang Ketiga
Soalan ketiga berkenaan harta. Ia mempunyai dua anak soalan, iaitu bagaimana cara memperolehi dan bagaimana cara membelanjakannya. Realiti dunia hari ini yang dikuasai kapitalis melahirkan segolongan manusia yang tidak mempedulikan halal dan haram di dalam mengumpul harta. Matlamatnya hanyalah wang, setiap tindak tanduk diputuskan berdasarkan keuntungan wang, segala pengorbanan adalah demi wang, bahkan hidup matinya seolah-olah menghambakan diri kepada wang. Golongan ini lupa untuk merealisasikan makna doa iftitah yang dibaca pada setiap rakaat pertama solatnya. Sepatutnya segala-segala yang dilakukan adalah demi Allah, Tuhan sekalian alam. Lantas suburlah budaya rasuah, pecah amanah, menipu dalam perniagaan, lari dari hutang, mencuri, merompak dan sebagainya. Alangkah ngerinya keadaan golongan ini apabila berada di dalam mahkamah Allah di akhirat kelak, apakah yang bakal dijawab oleh mereka? Soalan susulan seterusnya ialah cara membelanjakan harta yang dimiliki. Ada yang begitu cermat memastikan hartanya benar-benar dari sumber yang bersih dan halal, tetapi lalai ketika membelanjakannya. Tanpa disedari, ia membeli perkara-perkara yang menjadi senjata musuh untuk merosakkan zuriatnya sendiri lalu menempatkannya di dalam rumah yang mereka diami. Ada kalanya, menggunakan harta yang halal, tetapi membawa ahli keluarganya ke tempat yang melalaikan mereka dari mengingati Allah. Semua ini bakal ditanya, persiapkanlah jawapannya !

Soalan Bocor Yang Keempat
Soalan terakhir berdasarkan hadis ini adalah berkenaan tubuh badan dan kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah. Ramai yang tidak menghargai kesihatan ketika mereka sihat bahkan jarang memuji Allah di atas nikmat ini. Tetapi apabila jatuh sakit, secara tiba-tiba mereka menjadi orang yang sentiasa menyebut Allah dan berazam untuk melalukan ketaatan setelah sembuh. Demikianlah sakit, satu anugerah yang sangat baik dari Allah, tanda kasihNya kepada hambaNya. Justeru, hargailah nikmat tubuh badan ini dengan menggunakannya semaksima mungkin untuk melakukan pelaburan yang profitnya akan digunakan untuk ‘shopping’ di akhirat nanti.

Tangan Dan Kaki Bercakap
Di dalam surah Yaasin, Allah menceritakan suasana di akhirat nanti di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Pada hari ini Kami tutup mulut-mulut mereka, dan tangan-tangan mereka akan bercakap (mengakui segala amalan yang dilakukan di dunia) serta kaki-kaki menjadi saksi di atas apa yang telah mereka lakukan” ( Surah Yaasin, ayat 65 )
Ketika itu, mulut yang sangat petah berkata-kata tidak mampu memberi alasan dan melepaskan diri lagi sebagaimana di dunia dahulu. Mulut terkunci rapat dan tugas menjawab dipindahkan kepada seluruh anggota badan lain lalu mengakui satu persatu amal baik dan buruk ketika di dunia dahulu tanpa tertinggal sedikitpun, sehingga akhirnya menempatkan mereka ke destinasi terakhir sama ada di syurga mahupun neraka.

Sumber: http://www.ustazsyed.blogspot.com

Saturday, March 2, 2013

Katakan "TIDAK" kepada maksiat



Pada suatu senja yang lengang, terlihat seorang wanita berjalan terhuyung-hayung. Pakaianya yang serba hitam menandakan bahwa ia berada dalam dukacita yang mencekam. Kerudungnya menutup hampir seluruh wajahnya tanpa hias muka atau perhiasan menempel di tubuhnya. Kulit yang bersih, badan yang ramping dan roman mukanya yang ayu, tidak dapat menghapus kesan kepedihan yang telah meroyak hidupnya.

Ia melangkah terseret-seret mendekati kediaman Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu perlahan-lahan sambil memberi salam. Maka terdengarlah ucapan dari dalam, "Silakan masuk" Perempuan cantik itu lalu berjalan masuk sambil kepalanya terus merunduk. Air matanya berderai tatkala ia berkata, 

"Wahai Nabi Allah. Tolonglah saya. Doakan saya agar Tuhan berkenan mengampuni dosa keji saya." 
"Apakah dosamu wahai wanita ayu?" tanya Nabi Musa a.s. terkejut.
"Saya takut mengatakannya."jawab wanita cantik..
"Katakanlah jangan ragu-ragu!" desak Nabi Musa.
Maka perempuan itupun terpatah bercerita, "Saya... telah berzina".

Kepala Nabi Musa terangkat,hatinya tersentak.

Perempuan itu meneruskan, "Dari perzinaan itu saya pun... hamil. Setelah anak itu lahir,langsung saya... cekik lehernya sampai... mati," ucap wanita itu seraya menangis sejadi-jadinya. 

Nabi Musa berapi-api matanya. Dengan muka berang ia mengherdik, "Perempuan bejad, pergi kamu dari sini! Agar siksa Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!"...teriak Nabi Musa sambil memalingkan mata kerana jijik.

Perempuan berwajah ayu dengan hati bagaikan kaca membentur batu hancur luluh segera bangkit dan melangkah surut. Dia terantuk-antuk keluar dari dalam rumah Nabi Musa.. 

Ratap tangisnya amat memilukan. Ia tak tahu harus kemana lagi hendak mengadu.. Bahkan ia tak tahu mahu dibawa kemana lagi kaki-kakinya. Bila seorang Nabi saja sudah menolaknya, bagaimana pula manusia lain bakal menerimanya? Terbayang olehnya betapa besar dosanya, betapa jahat perbuatannya. 

Ia tidak tahu bahwa sepeninggalnya, Malaikat Jibril turun mendatangi Nabi Musa. Sang Ruhul Amin Jibril lalu bertanya, "Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu dosa yang lebih besar daripadanya?" 

Nabi Musa terperanjat.  "Dosa apakah yang lebih besar dari kekejian wanita pezina dan pembunuh itu?" 
Maka Nabi Musa dengan penuh rasa ingin tahu bertanya kepada Jibril.
"Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang nista itu?"
"! Ada!" jawab Jibril dengan tegas.
"Dosa apakah itu?" tanya Nabi Musa.
"Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar dari pada seribu kali berzina".

Mendengar penjelasan ini Nabi Musa kemudian memanggil wanita tadi untuk menghadap kembali kepadanya. Ia mengangkat tangan dengan khusuk untuk memohonkan ampunan kepada Allah untuk perempuan tersebut. Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama saja seperti berpendapat bahwa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu atas dirinya. Bererti ia seakan-akan menganggap remeh perintah Tuhan, bahkan seolah-olah menganggap Tuhan tidak punya hak untuk mengatur dan memerintah hamba-Nya. 

Sedang orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan sungguh-sungguh bererti masih mempunyai iman di dadanya dan yakin bahwa Allah itu ada, di jalan ketaatan kepada-Nya. Itulah sebabnya Tuhan pasti mahu menerima kedatangannya.

Sabar Itu Laksana Sinar Matahari



Sabar Itu Laksana Sinar Matahari | Islam Itu Suci

Dalam memperjuangkan kehidupan, kadang-kadang kita merasakan seperti kita sudah melakukan yang terbaik, sehabis baik. Tetapi nasib masih tidak menyebelahi kita, barangkali. Maka kita menempuhi kegagalan sekali lagi, sekali lagi dan sekali lagi. Walhal telah diletakkan usaha yang berlipat kali ganda, study bagai nak gila, 48 jam tidak tidur, dan sebagainya. Tetapi masih tidak berjaya. Salah siapa agaknya?

Pertama sekali, janganlah kita menyalahkan siapa-siapa atau cuba berkata, “Aku fail subject ni sebab lecturer tu gila!” atau “Program itu dan ini punca aku fail!” dan sebagainya. Biasalah, bila tidak mendapat sesuatu yang kita harapkan, pastinya kita merasa kecewa, sedih, murung dan seribu macam perasaan datang menghujani diri. Tetapi janganlah kita terlalu lama melayan perasaan. Istighfar, ingatlah kepada Allah. Muhasabah diri, perbaiki kelemahan dan janganlah kita pernah berputus asa.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

    “Dan solat itu laksana sinar rembulan, sedekah itu bukti keimanan, sedangkan SABAR itu laksana sinar matahari.” (Riwayat Muslim)

Tidak dapat dinafikan bahawa sabar itu bukanlah perkara yang mudah untuk kita laksanakan atau jalankan. Untuk menjalankan misi ‘menjadi orang sabar’ ini, memang sangat menduga. Kita mudah merasa banyak benar kesulitan dan cabaran dalam bersabar dan kita mudah merasa penat dalam bersabar. Lantaran itulah ramai antara kita apabila sudah mula merasa penat dalam bersabar, kita akan berkata “Aku dah tak boleh nak sabar lagi dah!” atau “Aku dah penat bersabar dengan itu/ini!” dan sebagainya.

    Sabar itu bermaksud menahan diri daripada sifat gelisah dan emosi, menahan lisan daripada mengeluh serta anggota badan daripada perbuatan yang tidak terarah. (Sumber: Solusi. Isu; 31).

Maka benarlah apabila memperoleh keputusan peperiksaan atau ‘exam result’ yang mengecewakan, andai kita tidak bersabar, kita mudah resah gelisah lebih teruk lagi apabila merasa seperti ‘emosi memanjang’. Yang lelaki pun boleh jadi ‘datang bulan’ dek dugaan begini. Yang perempuan bermuram durja, terperap di dalam bilik semata. Kecewa bukan kepalang. Silap hari bulan jika ada yang banyak bertanya boleh jadi terus dimaki. Wrong timing katanya.

Itulah cabarannya dalam mendidik diri untuk bersabar. Kalau tidak bersabar, mungkin kita akan gagal menahan lisan kita daripada mengeluh. Lantas mulalah berkata, “Allah ni tak adillah bagi aku keputusan macam ni..” dan sebagainya. Lebih buruk jika ada yang terfikir untuk melakukan perkara-perkara ‘pelik’ seperti bunuh diri. Nauzubillah. Setakat ini di Malaysia wujud juga kes bunuh diri kerana keputusan peperiksaan yang mengecewakan. Moga Allah menjauhkan diri kita daripada semua itu.

Mengapa sabar itu diibaratkan seperti ‘sinar matahari’? Kita semua tahu fitrah matahari, kan? Matahari itu panas betul kan? Tatkala siang menjelang, berpeluh-peluh kita mengharungi teriknya panas mentari. Tetapi tidak boleh tidak, kita tetap memerlukannya sebagai sumber cahaya, jika tidak gelap gelitalah dunia kita. Kita perlukan matahari untuk hidup, untuk tanam-tanaman kita hidup, untuk haiwan ternakan kita hidup dan sebagainya. Maka sebab itulah sabar itu diibaratkan seperti sinar matahari, walaupun bersusah payah terpaksa menghadapi teriknya ia, tetapi kita tetap perlukannya. Kan?

Selain daripada itu, matahari sentiasa memancarkan cahayanya bagi menyuluh kehidupan seharian kita. Sungguhpun ianya bersifat panas, namun ia masih bersifat membantu kepada kehidupan kita. Begitu juga dengan kesabaran. Sungguhpun ia benar-benar mencabar untuk kita namun sekiranya diuruskan dengan bijaksana, maka khasiatnya mampu memberi cahaya kepada kehidupan kita jua.

Apa yang pasti, bersangka baiklah kerana semua dugaan yang Allah berikan pastinya terselit hikmah di sebaliknya. Cuma mungkin di atas kelemahan kita sebagai manusia yang mudah alpa dan mudah mengeluh, pada kebanyakan waktu kita tidak mampu untuk lihat tentang apakah hikmahnya.

Akan tetapi, berilah diri kita masa. Lama kelamaan apabila kita semakin tenang, jiwa tidak lagi berombak resah, selepas satu persatu nikmat yang Allah turunkan untuk kita, maka  barulah kita akan terlihat akan hikmah demi hikmahNya.

Teringat saya pada usikan Ustaz Ridhauddin tempoh hari,
“Perkara paling nikmat adalah dengan bersabar”.

Benar, memang benar. Sabar itu nikmat. Sabar itu indah. Maka, marilah berusaha mendidik diri kita untuk bersabar dan terus bersabar. Kerana sabar itu adalah separuh daripada iman dan iman itu membawa kita ke Syurga. Syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai yang jernih. Tidak mahukah kita merasainya?


*sumber
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...