IBNU Khaldun (1332-1406) ialah cendekiawan Islam yang banyak menyumbang dalam pelbagai bidang sains kemanusiaan antaranya falsafah, sains politik, sejarah dan sosiologi.
Berasal dari Tunisia, beliau pernah bertugas sebagai hakim atau kadi kepada mazhab Maliki di Afrika Utara. Beliau juga negarawan yang arif dalam hal ehwal negara hasil pengalamannya berkhidmat kepada beberapa generasi pemerintah Muslim di sana.
Antara pemikiran Ibnu Khaldun adalah teori kemasyarakatan. Menurut beliau, sebelum mengkaji lebih mendalam sesuatu masyarakat, kita perlu memahami manusia dan perbezaannya daripada hidupan lain. Manusia diangkat tinggi martabatnya berbanding makhluk sekeliling kerana boleh berfikir dan menimba pelbagai ilmu sains serta ilmu seni. Kedua, manusia mempunyai kemahiran memerintah yang memberi peluang untuk menyediakan perlindungan serta mempertahankan keselamatan diri.
Ketiga, manusia dapat bekerjasama melalui pelbagai bentuk dan cara dalam menjalani kehidupan seperti kerjasama dalam institusi kekeluargaan, anak sentiasa berusaha membantu ibu bapa.
Seterusnya ia berkembang kepada kerjasama antara kaum yang akhirnya mewujudkan ciri keempat pada manusia yang dinamakan oleh Ibnu Khaldun sebagai tamadun. Manusia memerlukan tamadun untuk memenuhi keperluan mereka.
Ini termasuk tempat tinggal yang selesa di bandar dan kawan bagi menemani hidup supaya tidak kesunyian. Semua ciri ini membezakan manusia dengan makhluk lain mengikut pengamatan Ibnu Khaldun. Apabila memahami manusia, baru kita beralih kepada pengkajian mengenai bagaimana individu dapat membina jati diri serta mempelajari budaya melalui pergaulan dan pengalaman hidup dalam masyarakat.
Individu tidak boleh hidup dengan mengasingkan diri daripada masyarakat. Ibnu Khaldun menceritakan mengenai seorang kanak-kanak yang dikurung bersama bapanya sejak ia lahir.
Walaupun memiliki pengetahuan mengenai dunia luar melalui penceritaan bapanya, budak itu masih tidak mampu membayangkan dan berimaginasi apa yang diceritakan itu. Pengasingan dengan dunia luar membuatkan kanak-kanak itu tiada pengalaman berjumpa dan hidup dalam masyarakat sehingga membantutkan daya fikirannya. Oleh itu, hidup bermasyarakat adalah penting.
Menurut Ibnu Khaldun, beberapa faktor perlu ada bagi membantu individu dalam proses mengumpul pengetahuan mengenai masyarakat dan pertama adalah ilmu.
Ilmu adalah ramuan paling asas bagi perkembangan minda manusia, terutama mengenai alam. Manusia asalnya jahil dan mempunyai minda yang kosong ataupun dipanggil tabula rasa mengikut Ibnu Khaldun.
Kemudian, hasil usaha menimba ilmu pengetahuan, seseorang menjadi insan lebih sempurna akal fikirannya dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Ilmu pengetahuan dimantapkan dengan faktor kedua iaitu nilai murni keagamaan yang mewujudkan pembangunan jati diri yang baik.
Pembangunan insan berlandaskan agama ini perlu diserapkan ke dalam personaliti setiap individu. Proses ini dapat dilaksanakan oleh ejen ketiga iaitu institusi keluarga.
Kasih sayang yang diberikan ibu bapa sangat perlu bagi mewujudkan individu yang normal dan dapat menyumbang kepada masyarakat. Pandangan ini sesuai dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud:
“Setiap bayi yang lahir itu dilahirkan seperti kain putih, terserah kepada ibu bapanya untuk menjadikan dia Yahudi atau Nasrani ataupun Majusi.”
Keluarga memainkan peranan utama membentuk sahsiah dan akhlak individu supaya sentiasa baik dan berada dalam landasan agama. Guru dan golongan tua juga ejen yang membantu menerapkan nilai murni kepada individu.
Golongan tua terlebih dulu makan garam memandu golongan muda berdasarkan pengalaman hidup yang sudah mereka tempuhi. Sementara guru pula berkemampuan mengajarkan pelbagai ilmu kepada murid.
Menurut Ibnu Khaldun, ilmu yang diajar harus secara berperingkat. Sedikit demi sedikit ilmu diserapkan kepada pelajar mengikut kemampuan mereka. Jangan terus memberi soalan yang susah atas alasan supaya mereka dapat menimba pengalaman daripada menjawab soalan itu.
Soalan yang sukar ini patut disimpan untuk dijawab pada akhir proses pembelajaran. Guru yang melakukan kesilapan ini sebenarnya menambahkan kekeliruan pelajar kepada pelajaran.
Bagi Ibnu Khaldun ini adalah teknik pengajaran yang lemah dan tidak berkesan. Beliau juga menekankan elak daripada menjalankan proses pendidikan formal berasaskan penghafalan kerana menghafal mengakibatkan seseorang mudah lupa.
Faktor seterusnya ialah penguasaan bahasa sebagai medium asas untuk berkomunikasi dengan masyarakat termasuk kebolehan berbahasa pasar kerana ia dapat memudahkan seseorang bersosial dan merapatkan lagi hubungan dengan ahli masyarakat.
Penulisan juga penting kerana bahasa sesuatu yang simbolik. Penulisan dapat membantu seseorang meluahkan apa yang terdetik di benak dan minda mereka.
Ejen sosialisasi yang terakhir ialah muzik. Menurut Ibnu Khaldun, muzik dapat mengeratkan hubungan sesama manusia melalui emosi yang dilahirkan ketika mendengarnya terutama muzik berentak harmoni.
Ia membantu menceriakan suasana serta meringankan tekanan. Muzik bercorak puisi indah, berirama rancak dan bertenaga pula menaikkan semangat tentera yang berjuang di medan peperangan. Ini membantu mereka terus cekal melindungi keselamatan masyarakat sehingga berjaya mengatasi dan mengalahkan musuh serta pulang ke pangkuan keluarga dicintai.
Ibnu Khaldun banyak menyumbang kepada ilmu falsafah sama ada politik, sosiologi dan sejarah, walaupun pelbagai kritikan dilemparkan kerana teorinya yang dianggap agak sekular, jika diamati, fikiran beliau lebih maju daripada era zamannya sendiri.
Selepas lebih enam abad berlalu, falsafah beliau masih dapat diguna pakai dan banyak menyumbang kepada pembangunan tamadun sama ada Islam mahu Barat.
Sehingga kini, hasil nukilan beliau masih menjadi sumber rujukan utama bagi universiti di seluruh dunia.
Sumber: http://blogtraditionalislam.wordpress.com/
No comments:
Post a Comment