Pages

Monday, November 22, 2010

Doa Restu Ilmu


Anakku

apabila suaramu memecah kelahiran

tahulah aku

seluruh urat nadi di tubuh ini

mesti diperah

mengalirkan susu di kerongkongmu.

Anakku

apabila engkau mula membesar

untuk menyedut nafas kemerdekaan

mengertilah aku

seluruh kebijaksanaan bangsamu

terpaksa dipadu dikerah mendidik

dan mengawalmu.

Anakku

apabila engkau menjadi semakin remaja

dengan gagah melihat bumi bonda ini

sebagai titik di sebuah dunia

fahamlah aku

sesungguhnya aku dan seluruh guru-gurumu

memerlukan sebuah kepastian.

Anakku

apabila engkau benar-benar dewasa

insaflah aku

bahawa engkau berdepan dengan seribu kejahilan

dengan hakikat dan pengalaman.

Anakku

apabila engkau akan menjadi semakin tua

bersyukurlah aku

jika engkau sedar

segala yang meratah fikiran rasaku

selama ini ... selama aku

menjadi ayah dan gurumu.

No comments:

Post a Comment

Sila berikan komen yang membina dan memberikan kearah kesejahteraan dunia dan akhirat.